Usah cepat menghukum guna emosi

Laporan Sinar Harian berhubung insiden kes pukul lelaki OKU di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu pada pagi Jumaat lepas. Gambar kecil: Mohd Hidayat
Laporan Sinar Harian berhubung insiden kes pukul lelaki OKU di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu pada pagi Jumaat lepas. Gambar kecil: Mohd Hidayat
A
A
A

KEMAMAN - Insiden orang kurang upaya (OKU) dipukul dalam kejadian di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, di sini seharusnya membuka mata kepada masalah lebih besar iaitu sikap masyarakat cepat menghukum menggunakan emosi tanpa fikiran waras bagi menyelesaikan konflik.

Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Mohd Hidayat Mat berkata, perbuatan itu bukan sahaja bertentangan dengan prinsip keadilan dan kemanusiaan malah mencerminkan kegagalan sebahagian masyarakat bertindak secara rasional berlandaskan undang-undang.

Menurutnya, lebih menyedihkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di tempat awam dengan kehadiran saksi-saksi yang memilih untuk hanya melihat daripada membantu.

"Fenomena ini dikenali sebagai 'bystander effect' di mana kehadiran ramai individu menyaksikan kejadian tidak disertai dengan usaha untuk bertindak atau membantu mangsa.

"Keadaan ini jelas memperlihatkan bahawa nilai tanggungjawab bersama semakin terhakis dalam kalangan masyarakat kita," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang segera menyiasat kes tersebut.

Jelasnya, insiden itu perlu dijadikan pengajaran kepada untuk kembali kepada asas hidup bermasyarakat yang harmoni, adil, dan bertanggungjawab.

"Masyarakat mesti dididik untuk memahami bahawa semua bentuk keganasan, terutama terhadap golongan rentan seperti OKU, tidak boleh diterima, sebaliknya, penyelesaian kepada apa jua konflik perlu berlandaskan undang-undang dan perbincangan yang matang.

Artikel Berkaitan:

"Dalam menangani isu seperti ini, peranan semua pihak, termasuk orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO), dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting.

"Kita memerlukan lebih banyak inisiatif yang memperkukuh semangat kemasyarakatan dan mewujudkan persekitaran lebih selamat serta proaktif dalam membanteras tingkah laku ganas dan tidak berperikemanusiaan," katanya.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tersebut.

Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.

Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah bertindak memukul mangsa.

Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!