‘Kalau kamu anak jantan, jumpa di mahkamah’ - Akmal Saleh

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menawarkan khidmat peguam secara percuma kepada seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang terlibat dengan kejadian pukul di Kemaman, Terengganu pada Jumaat.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan Exco Pemuda UMNO dan Peguam Pemuda UMNO untuk membantu serta mencari lelaki tersebut di Terengganu dalam masa terdekat.
“Kita nak pastikan mereka yang buat perkara tak ada hati perut ini dikenakan tindakan undang-undang setimpal mungkin. Pemuda UMNO, kita sudah beri komitmen.
“Kita akan mengupah peguam untuk bantu abang ini dan pastikan mereka yang terlibat, saya kira bukan tiga orang malah lebih akan dihadapkan ke mahkamah serta dihukum setimpalnya.
"Kalau kamu anak jantan, kita jumpa dekat mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, polis menahan tiga individu termasuk seorang peniaga bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul membabitkan seorang lelaki OKU di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, di Kemaman, Terengganu pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata, lelaki berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira jam 8 pada Jumaat malam.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, kejadian pukul terhadap lelaki tersebut tidak sepatutnya berlaku walaupun dia bukan seorang OKU.
“Terlanggar itu memang salah tapi tak sanggup seorang manusia bila tengok dia dipukul, diperlakukan begitu rupa.
“Kita dapat tahu hamba ALLAH SWT yang melanggar kedai pasar malam rupanya seorang OKU, OKU mental dan lebih menyedihkan hati saya adalah diperlakukan seperti binatang. Disepak muka, diheret, tak ada rasa berperikemanusiaankah?
“Tak tahukah bahawa dia mental? Kalau katalah dia bukan sakit mental pun, kenapa nak pukul ramai-ramai? Eh kalau anak jantan bukan begitu caranya. Sini saya akan ajar cara anak jantan,” ujarnya.
@sinarharianonline ‘Kalau kamu anak jantan, jumpa di mahkamah’ - Akmal Saleh #fyp #AkmalSaleh #Mahkamah
Epic News - DM Production
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!