'Terima kasih doakan kesihatan ayah saya'

KUALA TERENGGANU - Anak kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul beramai-ramai dalam kejadian di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, di Kemaman pada Jumaat lalu merakam penghargaan atas sokongan orang ramai.
Menerusi hantaran di aplikasi TikTok pada malam Sabtu, individu menggunakan akaun nama nrulfrhana._ memberitahu, bapanya telah dirawat di Hospital Kemaman dan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, mereka juga bersyukur dan berterima kasih kepada individu yang menawarkan diri untuk membantu mereka sekeluarga.
"Terima kasih yang mana mendoakan kesihatan ayah dan yang ingin menolong kami, kami hargai sangat.
"Ayah kami berada di hospital Terengganu, tengah menerima rawatan. Sekali lagi terima kasih," tulisnya.
Sehari sebelum itu, pada hari kejadian nrulfrhana._ menitipkan ucapan buat bapanya menerusi hantaran berasingan.
"Rehatlah abah, dunia terlalu kejam untukmu," tulisnya.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan berhubung insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tersebut.
Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah telah bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
