Polis tahan tiga lelaki kes pukul OKU di pasar tani

Tangkap layar rakaman video menunjukkan mangsa yang merupakan OKU dipukul dalam insiden di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, Kemaman pada pagi Jumaat.
Tangkap layar rakaman video menunjukkan mangsa yang merupakan OKU dipukul dalam insiden di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, Kemaman pada pagi Jumaat.
A
A
A

KEMAMAN - Polis menahan tiga individu termasuk seorang peniaga bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul membabitkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, di sini pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja'afar berkata, lelaki berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira jam 8 malam tadi.

"Mereka yang ditahan ini telah dirakam keterangan dan pihak polis masih lagi menyiasat kes ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh.

"Mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berdekatan," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, katanya mangsa OKU mental berusia 47 tahun yang mengalami kecederaan ringan telah dirawat di Hospital Kemaman dan diserahkan kepada keluarganya.

Beliau memberitahu, waris mangsa dinasihatkan supaya mengawal pergerakan mangsa agar kejadian sama tidak berulang.

Sebelum ini, media melaporkan pihak polis menerima laporan berhubung insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tersebut jam 9.30 pagi.

Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan barangan di gerai tersebut terjatuh.

Artikel Berkaitan:

Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!