Pendekatan Madani jadi tunjang kepimpinan ASEAN dalam zaman tidak menentu - Mohamad

Mohamad mempengerusikan Permukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi pada Ahad. Foto Bernama
Mohamad mempengerusikan Permukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Malaysia menjadikan prinsip Madani sebagai asas utama dalam kepimpinan ASEAN bagi 2025, dengan tumpuan kepada keterangkuman dan kemampanan, sejajar dengan landskap global yang semakin mencabar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kepimpinan Malaysia akan menyasarkan penetapan piawaian baharu dalam tadbir urus global berlandaskan nilai-nilai kekal seperti keterangkuman, kepelbagaian dan perancangan berorientasikan masa depan.

"Ini sebabnya tema kepengerusian Malaysia untuk ASEAN tahun ini adalah ‘Keterangkuman dan Kemampanan.’

"Kami bercita-cita bukan sahaja untuk menetapkan rentak bagi 12 bulan akan datang, tetapi juga mewujudkan piawaian baharu dalam tadbir urus global yang berkisar pada nilai-nilai jangka panjang seperti keterangkuman, kepelbagaian dan perancangan masa depan,” katanya dalam ucapan perasmian Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini pada Ahad.

Melalui prinsip Madani, Malaysia akan mengamalkan pendekatan inklusif di setiap peringkat dengan menekankan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) serta memastikan teknologi memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor berkenaan

Mohamad menegaskan bahawa Malaysia bercita-cita untuk meningkatkan taraf hidup, menyediakan peluang yang adil kepada semua lapisan masyarakat dan memastikan tiada yang ketinggalan.

"Dalam semangat usaha ini, kami berharap ASEAN dapat mencerminkan hakikat bahawa Asia Tenggara bukan sekadar rantau 10 negara - tetapi 11.

"Kesemua 11 negara ini layak untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam organisasi yang memperjuangkan kesejahteraan wilayah ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya kita tidak menunjukkan keterangkuman dalam organisasi kita sendiri, semua retorik kita akan kedengaran kosong.

"Kita mesti menepati kata-kata kita, menunjukkan kepercayaan dan sokongan antara satu sama lain,” seru Mohamad.

Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari, kali kelima memimpin kumpulan serantau ini sejak ia ditubuhkan pada 1967.

Lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadualkan berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Malaysia sebelum ini mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!