Boikot atau tidak, apa pilihan anda?

Kebanyakan rakyat Malaysia tetap meneruskan memboikot produk yang didakwa berkaitan dengan Israel. Gambar hiasan
Kebanyakan rakyat Malaysia tetap meneruskan memboikot produk yang didakwa berkaitan dengan Israel. Gambar hiasan
A
A
A

WALAUPUN ketegangan perang antara Palestin dan Israel semakin reda, tetapi usaha rakyat Malaysia terhadap memboikot produk yang didakwa berkaitan dengan Israel masih tetap diteruskan.

Rata-rata rakyat Malaysia menunjukkan sokongan terhadap Palestin tidak kira berlainan kaum atau agama dengan mengelak membeli barangan yang dikaitkan dengan rejim Zionis sebagai tanda solidariti terhadap keadilan, keamanan atau kemanusiaan.

Bukan itu sahaja, ada juga yang memilih untuk tidak memboikot atas sebab-sebab tertentu, seperti kebergantungan terhadap jenama tersebut atau kekurangan alternatif yang setara.

Terbaharu, Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, rata-rata pengguna kini sudah serasi dengan jenama alternatif yang digunakan sejurus gerakan boikot bermula tahun lalu.

Katanya, lebih setahun pengguna bersikap sudah terbiasa dengan gerakan memboikot itu kerana menjumpai jenama lain bagi menggantikan produk yang selama ini didakwa berkaitan Israel.

Terbaharu, setelah beberapa bulan berunding mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, Kabinet Israel akhirnya meluluskan perjanjian tersebut pada Sabtu.

Gencatan senjata yang dijadualkan berkuat kuasa pada 8.30 pagi Ahad (waktu tempatan) dijangka menghentikan pertempuran dan pengeboman rejim Zionis di Gaza selepas konflik berlangsung selama 15 bulan.

Dalam pada itu, menerusi undian yang dibuat Sinar Harian sejak 11 malam Khamis sehingga 4 petang Sabtu di tiga platform media sosial iaitu Instagram, Facebook dan X, keseluruhan seramai 85 peratus daripada 716 pengguna media sosial percaya kempen boikot beberapa produk serta jenama tidak akan berhenti.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan hasil undian di platform Instagram, sebanyak 85 peratus daripada 582 pengguna media sosial yang terlibat, iaitu 495 orang menyokong untuk memboikot, manakala selebihnya berpandangan kempen boikot akan berakhir seiring gencatan senjata diumumkan.

Undian di Facebook Sinar Harian pula mencatatkan sebanyak 78 daripada 85 pemilik akaun (91 peratus) memilih untuk meneruskan kempen boikot.

Sementara itu, di platform X, undian yang dijalankan pula menunjukkan sebanyak 38 daripada 49 pemilik akaun, berpendapat bahawa boikot terhadap produk tertentu tidak akan berakhir.

Bagaimanapun, pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad (Berjaya), Tan Sri Vincent Tan berkata, tiada keperluan untuk memboikot jenama Starbucks berikutan pengumuman gencatan senjata di Gaza yang bakal berkuat kuasa Ahad ini.

Tambahnya, beliau memberi bayangan bahawa jenama tersebut akan kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Tindakan memboikot ataupun tidak terpulang kepada individu, ada berpendirian perlu kerana ia adalah tanda solidariti dan ada pula memilih enggan memboikot berikutan tidak biasa menggunakan produk lain selain daripada jenama yang didakwa berkaitan Israel.

Persoalannya, adakah tindakan boikot ini akan terus berlanjutan dalam jangka panjang atau akan terhenti dengan gencatan senjata yang bakal dikuatkuasakan?

Ini kerana semuanya bergantung kepada sejauh manakah masyarakat akan terus berpegang pada prinsip dan nilai yang mereka perjuangkan sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!