X

Kindly register in order to view this article
!

Petronas Gas umum dividen 82 sen bagi tahun kewangan 2019

A
A

KUALA LUMPUR - Petronas Gas Bhd (Petronas Gas) mengumumkan jumlah dividen sebanyak 82 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2019, terdiri daripada dividen interim 22 sen sesaham untuk suku keempat dan dividen khas sebanyak 10 sen sesaham untuk tahun ini.

Pada tahun kewangan 2018, ia membayar dividen sebanyak 72 sen.

Dalam satu kenyataan, Petronas Gas berkata, sebelum ini ia telah mengumumkan pembayaran dividen suku tahunan sebanyak 16 sen pada suku pertama, 16 sen pada suku kedua dan 18 sen pada suku ketiga.

Keuntungan bersih Petronas Gas bagi tahun kewangan 2019 meningkat kepada RM1.93 bilion daripada RM1.79 bilion dicatatkan pada 2018 manakala hasil rendah sedikit pada RM5.45 bilion daripada RM5.49 bilion sebelumnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas, Kamal Bahrin Ahmad berkata, model perniagaan syarikat itu dengan usaha bersepadu dan perbelanjaan modal yang disasarkan telah menyumbang kepada daya tahannya terhadap perubahan dalam persekitaran operasi.

"Melangkah ke hadapan, kami akan meningkatkan usaha kami untuk menjadi rakan kongsi penyelesaian kepada pelanggan kami sambil mengekalkan prestasi operasi yang baik pada semua aset kami.

"Kami kini giat mencari peluang pertumbuhan seperti yang dapat dilihat menerusi perkhidmatan sampingan yang dilaksanakan di Terminal Regasifikasi gas asli cecair (LNG) Pengerang, banyak lagi perkhidmatan akan diperkenalkan di Terminal Regasifikasi LNG Sungai Udang pada 2020," katanya. - Bernama