Jurulatih rugi lebih RM300,000 terpedaya skim pelaburan

IPOH - Seorang jurulatih selam mengalami kerugian lebih RM300,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di Facebook.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, maklumat kes itu daripada mangsa wanita berusia 32 tahun yang membuat laporan polis pada Sabtu.
Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa pada 11 September lalu telah melayari laman Facebook dan berminat dengan satu iklan berkaitan pelaburan membeli dan menjual saham.
"Mangsa telah menekan link yang diberikan sebelum dimasukkan ke dalam satu grup WhatsApp dan diminta memuat turun aplikasi AE dalam talian.
"Bagi tujuan membeli dan menjual saham, mangsa disaran membuka satu akaun dalam aplikasi AE tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa yang percaya dengan keuntungan dijanjikan telah membuat 14 transaksi pindahan wang ke dalam dua akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM304,422.
Katanya, wang yang digunakan bagi pelaburan itu adalah hasil simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarga dan rakan.
"Siasatan polis mendapati, terdapat pulangan sebanyak RM7,960 yang dimasukkan ke dalam akaun mangsa pada 15 November lepas.
"Mangsa cuba menghubungi suspek untuk mendapatkan pulangan bagi transaksi lain, tetapi suspek gagal dihubungi.
"Semakan yang dibuat mangsa di beberapa laman sesawang mendapati, pelaburan tersebut tidak wujud," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!