Minuman keras, rokok haram pelbagai jenama hampir RM190,000 dirampas

JOHOR BAHRU – Sebanyak 33 kotak minuman keras dan rokok tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM186,033.60 dirampas hasil serbuan di Taman Cendana, Pasir Gudang pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan pasukan Polis Marin Wilayah 2, Pengerang Johor pada jam 9.30 malam.
“Susulan itu polis telah merampas sebanyak 15 kotak rokok putih dan 18 kotak minuman keras 500 mililiter.
“Kesemua barang rampasan berkenaan dipercayai tidak bercukai kastam,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
"Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) hingga tidak lebih daripada 20 nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.
Tambahnya, polis turut memburu suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Hamizan Fakhri di talian 010-4338032 atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-3864222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!