Pengarah syarikat rugi RM6.1 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

Datuk Hussein Omar Khan
Datuk Hussein Omar Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurus sebuah syarikat mengalami kerugian RM6.1 juta akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa terlibat merupakan wanita warga emas berumur 64 tahun yang membuat laporan berkaitan kejadian di Petaling Jaya.

Beliau berkata, suspek bertindak memperdayakan mangsa menerusi iklan di Facebook berkaitan satu iklan tawaran pelaburan.

"Mangsa bertindak menekan pautan pada iklan berkenaan sebelum ia disambungkan ke aplikasi WhatsApp.

"Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu yang mendakwa dirinya merupakan tenaga pengajar dalam pelaburan terbabit menerusi panggilan telefon," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa diberikan penerangan berkaitan pelaburan itu sebelum dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp.

"Siasatan mendapati mangsa telah mengikuti pelaburan berkenaan kira-kira dua minggu sebelum mangsa diminta untuk mendaftar sebagai pelabur baharu di salah satu platform disediakan.

"Mangsa kemudiannya membuat sembilan transaksi berjumlah RM6,118,500 ke lima akaun berbeza, mangsa mendapati keuntungan yang diperolehi hampir RM28.9 juta di platform terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa ingin membuat pengeluaran hasil keuntungan pelaburan itu namun mendakwa perlu membayar pelbagai bayaran cukai untuk mendapatkannya.

"Mangsa yang menyedari dirinya ditipu sebelum tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Hussein berkata, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap mana-mana tawaran berkaitan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.

"Sebarang panggilan atau tawaran mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan dan aduan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!