Pengarah syarikat terima suapan RM1 juta ditahan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat pada Rabu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta.
Sumber berkata, ia sebagai balasan untuk memberikan kerja-kerja sebagai subkontraktor berhubung tender perkhidmatan membekal makanan dan minuman kepada pekerja berjumlah RM900 juta.
Kata sumber, perintah reman selama lima hari sehingga Isnin telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
"Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 8 malam pada Rabu ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Ogos 2023 dan wang rasuah dikesan dipindahkan ke akaun milik syarikat suspek," katanya pada Khamis.
Menurutnya, suspek juga disyaki mengaku sebagai kontraktor utama bagi tender pembekalan makanan dan minuman selama lima tahun kepada pekerja di sebuah loji penapisan minyak, sedangkan pembekalan tersebut tidak wujud.
Pada masa yang sama, tambahnya, suspek yang turut bertindak menyamar dengan gelaran Datuk mempunyai rekod jenayah membabitkan kes penipuan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
