Sistem 'Auditor Rakyat' kesan aktiviti meragukan dalam penguat kuasa

Abdul Hakim.
Abdul Hakim.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang mewujudkan sistem Auditor Rakyat untuk melakukan audit secara berkala ke atas penguat kuasa agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti meragukan terutama jenayah rasuah.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, sistem tersebut bermaksud melibatkan individu daripada kalangan rakyat biasa yang tidak terikat dengan mana-mana jabatan kerajaan atau penguatkuasaan.

“Mereka dipilih berdasarkan integriti, kepakaran dan komitmen untuk memastikan ketelusan serta akauntabiliti dalam penguatkuasaan apabila melakukan tugasan.

“Dengan cara ini kita boleh meningkatkan ketelusan, memaksa penguat kuasa bertindak dengan integriti dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sesuatu institusi atau organisasi.

“Walaupun pelaksanaannya memerlukan perlindungan undang-undang dan pemilihan telus, ia adalah langkah transformasi yang mampu menghapuskan rasuah dan memperkukuh asas keadilan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, terima rasuah untuk tidak ambil tindakan penjualan ketum, dua anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.

Menurut sumber, dua penjawat awam itu direman kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas penjualan ketum di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas berkenaan kes berlaku, Hakim Hafizi berkata, perbuatan jenayah tersebut bukan sahaja mampu membuka ruang kepada dadah tetapi juga jenayah lain yang besar seperti pelacuran atau pemerdagangan manusia.

“Kes seperti ini tidak lagi mengejutkan, tetapi amat memalukan! Mereka sepatutnya menjadi benteng utama membanteras jenayah bukan menjadi perisai kepada penjenayah.

“Bila penguat kuasa yang sepatutnya menjaga undang-undang boleh ‘dibeli’ dengan RM6,000, ini mencerminkan betapa rapuhnya integriti dalam sistem kita,” ujarnya.

Tambah beliau, memerangi rasuah dalam kalangan penguat kuasa memerlukan tindakan luar jangka yang menutup peluang, meningkatkan pengawasan dan memastikan adanya hukuman berat.

Jelasnya, langkah tersebut bukan sahaja mampu menghakis amalan rasuah tetapi juga membina semula kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!