Empat individu ditahan bersama dadah bernilai RM4 juta

Kumar menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas.
Kumar menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis merampas 24 kilogram dadah bernilai RM4 juta hasil serbuan di dua kondominium di sekitar bandar raya ini, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan menerusi operasi khas itu dilakukan bermula jam 8.45 malam Jumaat hingga jam 6.30 pagi Sabtu.

Menurutnya, dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan.

“Kesemua suspek yang ditahan dipercayai merupakan sahabat selain dua lelaki warga tempatan menjadi antara dalang utama pengedaran dadah sejak empat bulan lalu.

“Hasil saringan air kencing kesemua suspek didapati negatif dan seorang suspek iaitu lelaki tempatan memiliki rekod berkaitan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Jumaat.

Tambah Kumar, dalam operasi itu, pihak polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu 23.8 kilogram serbuk ekstasi bernilai RM3.9 juta, 296 gram ketamin bernilai RM59,200 dan 13.2 gram (66 biji) pil erimin 5 bernilai RM1,320.

"Bekalan dadah dipercayai diperoleh dari utara tanah air dan diadun semula, sebelum dibungkus menggunakan peket kecil berjenama minuman tempatan serta corak tiga dimensi (3D) untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, jumlah rampasan dadah itu boleh digunakan oleh seramai 80,946 penagih jika terlepas ke pasaran.

Beliau berkata, polis turut menyita pelbagai peralatan pembungkusan semula dadah, sebuah kereta dengan nilai sitaan RM30,000, wang tunai RM2,761 dan wang tunai SGD200 (RM655).

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kediaman mewah sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah untuk pasaran di sekitar Johor Bahru.

"Sindiket pengedaran dadah ini mula aktif beroperasi sejak Oktober lalu," katanya.

Kumar berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga Jumaat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!