PBB perlu pastikan fasa awal gencatan senjata ikut perjanjian

Hafidzi
Hafidzi
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memastikan fasa awal gencatan senjata di Genting Gaza pada Ahad dilaksanakan mengikut perjanjian yang diluluskan.

Penasihat Kehormat MyCARE, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, tindakan itu sangat penting dalam memastikan masa depan rakyat Palestin, khususnya di Gaza agar mereka dapat menentukan pemerintah negara tanpa campur tangan pihak luar.

"Sebenarnya hak untuk menentukan masa depan Palestin adalah mereka sendiri. Berdasarkan pilihan legislatif pertama pada 2006, sama ada di Gaza atau Tebing Barat telah memberi kepercayaan dan undi kepada pejuang Hamas untuk memerintah.

Program Interviu membincangkan tajuk 'Gencatan senjata dan ke arah Palestin merdeka' bersama panelis (dari kiri) Hafidzi dan Syed Ibrahim pada Jumaat.
Program Interviu membincangkan tajuk 'Gencatan senjata dan ke arah Palestin merdeka' bersama panelis (dari kiri) Hafidzi dan Syed Ibrahim pada Jumaat.

"Ini berlaku di Gaza, juga di Tebing Barat. Cuma Tebing Barat ini statusnya adalah wilayah yang didiami. Maka, dengan mudah keputusan itu diubah dan di Parlimen, Hamas diganti dengan Fatah tetapi tak berlaku di Gaza.

"Berpunca daripada situ mereka kenakan sekatan ekonomi dan kepungan yang sudah berlanjutan sejak 2007 sehingga kini, sudah hampir 17 tahun. Bererti hak rakyat Palestin tidak dihormati dan pilihan mereka dikhianati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu bertajuk 'Gencatan senjata dan ke arah Palestin merdeka' yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Program yang dihoskan oleh Haizir Othman itu turut menampilkan Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hafidzi berkata, negara yang berdaulat di dunia ketika ini perlu meneruskan desakan dan tekanan kepada Israel serta negara yang menyokong untuk menghentikan penindasan hingga meragut lebih ramai nyawa.

"Ini bagi memastikan rakyat Palestin mendapat hak mereka sepenuhnya, bukan saja memastikan hak asasi seperti keterjaminan makanan, mendapatkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan sebagainya, tetapi proses pemerkasaan politik diserahkan sepenuhnya kepada rakyat Palestin.

"Bagaimanapun, jika mereka masih mahukan Fatah, terserah kepada mereka... tetapi kalau kita gagal dalam memastikan rakyat Palestin mendapatkan hak untuk penentuan nasib sendiri, maka jangan berharap kita akan dapat membebaskan Palestin," ujarnya.

Tambah Hafidzi, kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) buat kali kedua dijangka bakal meneruskan atau mempertahan agenda Israel dalam menentang rakyat Palestin.

Menurutnya, sebelum ini projek 'Deal of the Century' dan juga 'Abrahamic Accord' untuk menyatukan Yahudi dan Islam tidak berjaya dilaksanakan.

"Jadi, sekiranya Trump mahu melaksanakan perkara itu... dia akan menyokong usaha Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk melengkapkan proses aneksasi Tebing Barat yang sekarang ini mereka sudah kuasai 70 peratus kawasan tersebut.

"Dalam erti kata lain, jika ia diteruskan... seluruh Tebing Barat akan diserahkan kepada Israel. Ini adalah ikrar daripada Trump. Dia akan memastikan proses pengilhakkan disempurnakan semasa tempoh pemerintahannya yang kedua ini.

"Kalau kita panjang umur dan dapat menyaksikan Trump menjadi presiden kali kedua ini, maka saya menjangkakan bahawa lebih banyak kerugian dan juga kehancuran yang akan menimpa rakyat Palestin," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!