Hadiah Tahun Baharu Cina, 5 individu bebas kes pencemaran minyak Sungai Gong

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Empat lembaga pengarah dan seorang pengurus kilang dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan melakukan khianat serta melepaskan bahan buangan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang, lima tahun lalu.
Hakim, Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mereka ialah empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik, Yip Kok Wai, 58; Yip Kok Mun, 63; Yip Kok Kuin, 55, dan Yip Kok Weng, 65; serta pengurus bengkel itu Ho Voon Leong, 64.
Semasa membaca alasan penghakiman ringkas, hakim ini berkata, setelah semua tujuh sampel air yang diambil dari premis tertuduh dihantar ke Jabatan Kimia, ia didapati tidak sepadan dengan empat sampel yang diambil di luar premis.
Menurutnya, pendakwaan didapati gagal mengemukakan bukti kukuh wujudnya bahan bahaya, didakwa dikeluarkan daripada premis itu, sehingga menyebabkan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.
“Tujuh sampel yang diambil dari premis itu juga tidak mengandungi bahan berbahaya, sebagai mana tersenarai dalam ‘International Standards for Drinking-Water’.
“Walaupun terdapat analisa oleh dua pegawai Jabatan Kimia, namun mereka tidak dipanggil ke mahkamah, malah saksi daripada Jabatan Alam Sekitar juga tidak diminta memberi keterangan berkenaan kualiti air itu,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan bukti-bukti itu merupakan kekurangan yang ketara dalam kes pendakwaan.
Susulan itu katanya, ia telah melemahkan hubung kait antara aktiviti di premis itu dengan penutupan LRA.
Selain itu beliau berkata, pendakwaan gagal membuktikan alibi setiap tertuduh berada di premis itu, semasa kejadian berlaku.
Pada 15 September 2020, empat beradik dan pengurus bengkel itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pertama, iaitu dengan niat bersama melakukan khianat, menyebabkan bahan buangan, mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke alur air.
Sedangkan, ia akan mengalir ke dalam Sungai Gong, dengan mengetahui bahawa akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 September 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama, dituduh telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 3 September 2020, berlaku pencemaran minyak dari kilang berkenaan yang telah menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang.
Perbicaraan di peringkat pendakwaan ini berlangsung selama 44 hari bermula 2022 lalu, dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim manakala semua tertuduh diwakili peguam, Datuk M Redza Hassan dan Abdul Rashid Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!