'Hadiah Tahun Baharu Cina sangat fantastik'

SELAYANG – “Dibebaskan daripada dua kes melupuskan bahan buangan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang, lima tahun lalu menjadi hadiah Tahun Baharu Cina paling bermakna buat kami berlima.”
Demikian kata pengurus bengkel, Ho Voon Leong selepas Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan terbabit pada Jumaat.
Turut dibebaskan ialah empat ahli lembaga pengarah syarikat yang juga adik-beradik, Yip Kok Wai, 58; Yip Kok Mun, 63; Yip Kok Kuin, 55, dan Yip Kok Weng, 65.
Voon Leong, 64, berkata keputusan pembebasan diumumkan dua minggu sebelum perayaan adalah sangat fantastik.

“Kami sangat gembira memandangkan kami telah menghadapi perbicaraan ini hampir lima tahun.
“Akhirnya kami dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.
Terdahulu, Hakim Nor Rajiah Mat Zin melepaskan lima tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.
Ketika membaca alasan penghakiman, semua tujuh sampel air diambil dari premis tertuduh tidak sepadan dengan empat sampel diambil di luar premis.
Nor Rajiah berkata, pendakwaan didapati gagal mengemukakan butir kukuh wujudnya bahan bahaya didakwa dikeluarkan dari premis itu sehingga menyebabkan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.
Pada 15 September 2020, empat beradik dan pengurus bengkel mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan terbabit.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan khianat menyebabkan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dilupuskan ke alur air dari bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd.
Sedangkan ia akan mengalir ke Sungai Gong dengan mengetahui bahawa akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Kelima-lima mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 September 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama dituduh melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian pada 3 September 2020, berlaku pencemaran minyak dari kilang berkenaan menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang.
Perbicaraan berlangsung selama 44 hari bermula 2022 dengan 22 saksi dipanggi memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim manakala semua tertuduh diwakili peguam, Datuk M Redza Hassan dan Abdul Rashid Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

