Prospektus IPO ASEAN bantu syarikat peroleh dana daripada pelabur di pasaran

INISIATIF Prospektus 'Initial Public Offering' (IPO) ASEAN merupakan salah satu daripada 12 inisiatif yang akan diperkenalkan menerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia.
ASEAN-BAC kali ini merupakan penganjuran yang ke-102 dan dipengerusikan oleh Malaysia selepas Laos.
Pengerusi ASEAN-BAC 2025, Tan Sri Nazir Razak berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak pengawal selia sekuriti dalam menyediakan Prospektus IPO ASEAN sebagai satu pilihan bagi syarikat-syarikat yang ingin disenaraikan di bursa saham negara asal mereka.
Menurutnya, melalui prospektus itu, syarikat-syarikat tersebut boleh mendapatkan dana daripada mana-mana pelabur di pasaran yang mengiktiraf Prospektus IPO ASEAN.

"Langkah ini, walaupun kecil, akan menjadi satu kemajuan bermakna dalam usaha mengintegrasikan pasaran modal ASEAN," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran ASEAN-BAC 2025 di sini pada Khamis.
Majlis disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Nazir menambah, ASEAN-BAC 2025 sedang menyediakan tiga kajian terperinci untuk dibentangkan kepada kerajaan-kerajaan ASEAN.
"Kami bekerjasama dengan McKinsey & Co untuk menunjukkan bahawa industri pasaran swasta sangat penting kepada ekonomi tetapi masih terlalu kecil di ASEAN. Kami akan mencadangkan langkah-langkah untuk mempercepatkan pertumbuhannya.
"Yang kedua, kerjasama dengan Bain & Co untuk menangani isu mobiliti bakat, dengan menekankan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada mobiliti golongan belia iaitu pelajar dan pelatih," jelasnya.
Menurut beliau, Centre for Asian Philanthropy (CAPS) pula sedang menjalankan kajian bersama pihaknya berhubung amalan terbaik dalam filantropi korporat di seluruh rantau ini.

"Ia bertujuan untuk memperbaiki peraturan, undang-undang dan insentif nasional dalam bidang filantropi.
"Ia juga bagi memastikan lebih banyak dana korporat disalurkan untuk membantu golongan yang memerlukan, sekali gus menjadikan ASEAN lebih inklusif," katanya.
Nazir menambah, ASEAN-BAC 2025 sedang merangka inisiatif untuk memperkukuh perdagangan digital dalam ASEAN, mempromosikan kelestarian dan keterangkuman, serta berkolaborasi dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
"Di samping itu, kami mahu memacu penggabungan, pelaburan dan kerjasama perniagaan dalam rantau ini. Keutamaan ini akan membentuk agenda pengerusian kami.
"Saya menyedari cabaran besar untuk mendapatkan persetujuan pihak berkepentingan ASEAN, terutamanya apabila perubahan besar memerlukan persetujuan sebulat suara daripada kerajaan anggota.
"Namun, seperti pepatah, jika kita tidak mencuba, kita tidak akan berjaya. Jika pada akhir tahun 2025 kami masih belum mencapai matlamat, kami akan menyerahkan tanggungjawab ini kepada Joey Conception dan Filipina untuk menyelesaikan usaha ini," katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, melalui platform ASEAN-BAC, Pulau Pinang dapat memperjuangkan amalan perniagaan mampan, menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan membina ASEAN yang lebih berdaya tahan serta mesra alam.
Menurutnya, Pulau Pinang juga sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah pusat kewangan bagi menarik modal bagi menyokong sektor teknologi, pelancongan dan pendidikan.
"Pulau Pinang juga dilihat sebagai calon utama untuk menjadi Pusat Kewangan ASEAN. Pusat kewangan ini juga boleh meneroka kerjasama kewangan untuk ASEAN 1, memandangkan Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang kukuh dengan kebanyakan negara.
"Penganjuran ASEAN-BAC Malaysia memberikan peluang unik untuk kita memperkukuhkan kerjasama serantau, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kehidupan masyarakat di seluruh Asia Tenggara.
"Pulau Pinang komited untuk usaha ini serta memanfaatkan kekuatan dan sumber dayanya bagi menyumbang secara bermakna kepada matlamat bersama ASEAN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!