Bekas PM Australia dakwa Malaysia tahu punca kehilangan MH370

Tony Abbott mendakwa Malaysia secara rahsia telah memutuskan kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 adalah disebabkan oleh bunuh diri oleh juruterbangnya.
Tony Abbott mendakwa Malaysia secara rahsia telah memutuskan kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 adalah disebabkan oleh bunuh diri oleh juruterbangnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott mendakwa Malaysia secara rahsia telah memutuskan kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 adalah disebabkan oleh bunuh diri oleh juruterbangnya.

Dalam dokumentari bertajuk MH370: The Untold Story yang bakal ditayangkan di Australia minggu ini, Abbott berkata, ‘pihak tertinggi’ kerajaan Malaysia telah memberitahu bahawa kapten kapal terbang itu, Zaharie Mohd Shah adalah dalang di sebalik kehilangan pesawat tersebut.

"Pemahaman yang sangat jelas saya, daripada peringkat tertinggi kerajaan Malaysia bahawa sejak awal lagi mereka berpendapat ia adalah jenayah bunuh diri oleh juruterbang.

"Saya tidak akan mengatakan siapa kata kepada siapa, tetapi saya menegaskan sekali lagi. Saya mahu ianya sangat jelas, ia difahami di peringkat tertinggi bahawa ini adalah hampir pasti bunuh diri oleh juruterbang," kata Abbott.

Kata Abbot lagi, beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada informasi tersebut sampai kepada pasukan pencari dan penyelamat.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui pihak berkuasa sebelum ini ada menyiasat motif juruterbang pesawat malang tersebut.

Memetik laporan sebuah portal berita, Najib memberitahu rasa syak tersebut tidak diumumkan kerana tidak adil dan tidak bertanggungjawab dari segi undang-undang kerana kotak hitam dan perakam suara kokpit belum ditemui.

"Justeru tiada bukti yang tidak dapat dipertikaikan sama ada juruterbang itu dia semata-mata bertanggungjawab atau sama-sama,” kata Najib.

Artikel Berkaitan:

Kehilangan pesawat penumpang Boeing 777, yang hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang di atas kapal terus membingungkan pakar penerbangan, ahli keluarga dan masyarakat dari seluruh dunia.

Operasi mencari dan mengesan pesawat berakhir pada Mei 2018 apabila syarikat cari gali yang berpangkalan di Amerika Syarikat Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu setelah mencari lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut dalam sepanjang lebih daripada tiga bulan.

Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 dalam laporan 449 muka surat menyimpulkan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu, tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa 'gangguan menyalahi undang-undang' oleh pihak ketiga menyebabkan kejadian itu.

"Selamat malam. Malaysia tiga-tujuh-sifar," adalah kata-kata terakhir diucapkan kapten kepada kawalan trafik udara sebelum pesawat itu hilang dari radar pada jam 01:21.

Data satelit menunjukkan pesawat itu menyimpang dari laluan, membuat siri pusingan ke Selat Melaka dan kemudian ke arah Lautan Hindi.

Setakat ini, hanya tiga serpihan sayap, yang dikenali sebagai flaperon telah disahkan dari pesawat MH370.