Wanita, kekasih 'pengkid' tilik nasib di TikTok dipenjara dua bulan

Noriah (berbaju kuning) dan Herlin Juita dipenjara dua bulan dan denda RM1,000 atas pertuduhan melakukan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak.
Noriah (berbaju kuning) dan Herlin Juita dipenjara dua bulan dan denda RM1,000 atas pertuduhan melakukan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak.
A
A
A

SEREMBAN - Wanita Indonesia dan rakannya yang berperwatakan lelaki dipenjara dua bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak iaitu menilik nasib menggunakan kad tarot tahun lalu.

Hakim, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Herlin Juita, 39, dan Noriah Mahamad Isa, 40, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan tujuh hari sekiranya tertuduh gagal membayarnya.

Bagaimanapun kedua-dua mereka telah menjelaskannya.

Mengikut pertuduhan terhadap Herlin Juita, dia didapati melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu menilik nasib menggunakan kad tarot melalui aplikasi tiktok yang berdaftar di atas akaun @princess_herlin.

Kesalahan itu dilakukan pada 13 Disember 2024 lebih kurang antara 5 petang hingga 7 petang di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, di sini.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Noriah pula didapati bersubahat dengan Herlin melakukan perbuatan tersebut dengan menjadi pembantu untuk menaikkan jumlah penonton dan menarik pelanggan.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 35 dibacakan bersama dengan Seksyen 52 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Pihak pendakwaan diwakili Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azizuddin Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian pada 18 Disember lalu melaporkan wanita Indonesia bersama kekasih pengkidnya disyaki boleh memperoleh melebihi RM100 dalam tempoh dua jam dengan hanya menilik nasib seseorang menggunakan kad tarot.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, hasil risikan mendapati, kegiatan terbabit dilakukan pasangan songsang berkenaan sejak pertengahan tahun ini menerusi siaran langsung di TikTok.

Menurutnya, bayaran dikenakan kepada pelanggan menerusi pemberian 'gift' di TikTok berdasarkan tiga bentuk ramalan dilakukan iaitu soal percintaan, nasib ekonomi dan tuah kehidupan.

Kedua-dua mereka ditahan pada 13 Disember di sebuah rumah di Sendayan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!