KPN bakal perkenal konsep Negara Bangsa

Aaron bergambar bersama kakitangan KPN pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 yang diadakan di Kementerian Perpaduan Negara, di Putrajaya pada Selasa.
Aaron bergambar bersama kakitangan KPN pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 yang diadakan di Kementerian Perpaduan Negara, di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bakal memperkenalkan konsep Negara Bangsa pada tahun ini yang akan menumpukan kepada empat ikhtiar utama dalam agenda perpaduan negara.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, konsep tersebut menggariskan empat ikhtiar utama iaitu Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni Madani, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosio-Budaya.

Menurutnya, Ekosistem Perpaduan merangkumi program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang, Pemerkasaan 300 Rukun Tetangga Progresif serta Sambutan 50 Tahun Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga.

“Inisiatif Harmoni Madani pula memperlihatkan pelaksanaan program Sambutan Keharmonian Sedunia, Harmony Parade dan Dialog Harmoni.

“Eksplorasi Rukun Negara akan melibatkan pelaksanaan program seperti Sambutan 55 Tahun Rukun Negara dan Konvensyen Sekretariat Rukun Negara manakala Komuniti Sosio-Budaya melibatkan pelaksanaan program Citra Nusa@Muzium, Penubuhan Majlis Sejarawan Negara serta Karnival Baca Perdana.

“Keempat-empat ikhtiar ini akan menyaksikan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program merentasi jabatan serta agensi sepanjang 2025 sebagai usaha KPN mewujudkan negara bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat kepada kakitangan KPN di Kompleks F, di sini, pada Selasa.

AARON
AARON

Aaron berkata, Negara Bangsa adalah lebih daripada sekadar istilah, ia merujuk kepada pembentukan satu masyarakat yang bersatu padu, menghormati perbezaan dan berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan pencapaian sepanjang 2024, KPN melalui jabatan dan agensi dibawahnya telah berjaya melaksanakan sebanyak 730 program merangkumi 300 program berimpak tinggi berteraskan kepada kluster Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah.

“Antara pencapaian utama yang telah dicapai ialah pelaksanaan Sambutan Minggu Perpaduan, Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif, Penghayatan Rukun Negara, Mediator Komuniti, Liga Sukan Uniti dan lain-lain,” kata Aaron.

Pada majlis tersebut, Aaron mengumumkan tema tahun 2025 adalah ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi menjayakan pelaksanaan Piagam Harmoni.

Aaron (tengah) melancarkan buku, Iltizam Perpaduan 2025, turut serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam pada Malis Amanat Tahun Baharu 2025 yang diadakan di Kementerian Perpaduan Negara, di Putrajaya pada Selasa.
Aaron (tengah) melancarkan buku, Iltizam Perpaduan 2025, turut serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam pada Malis Amanat Tahun Baharu 2025 yang diadakan di Kementerian Perpaduan Negara, di Putrajaya pada Selasa.

“Piagam Harmoni merangkumi enam prinsip, 12 nilai keharmonian, 32 panduan dan sembilan hala tuju. Ia turut mengandungi satu garis panduan meliputi perkara yang perlu dielak dalam memperkasa hubungan masyarakat pelbagai kaum, agama dan bangsa.

“Kita semua sedar bahawa cabaran yang dihadapi oleh negara bukan kecil. Polarisasi kaum dan agama, keseimbangan sosioekonomi serta ancaman luar memerlukan kita bersatu hati dan berganding bahu,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron turut mengumumkan sempena Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN 2025, KPN melalui Perpustakaan Negara Malaysia akan menganjurkan 19th Congress of Southeast Asian Librarians General Conference and Meeting (CONSAL XIX) dengan tema Inclusive Knowledge: Bridging Divides, Empowering All di Kuala Lumpur pada Jun depan.

Tumpu dasar perpaduan

Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, tumpuan harus diberikan kepada dasar perpaduan yang berteraskan perlembagaan dan Rukun Negara.

SIVAMURUGAN
SIVAMURUGAN

Beliau berkata, ia seiring dengan komitmen kerajaan menerusi KPN bagi membentuk satu identiti agar terus kekal harmoni.

Jelasnya, sudah pasti perkara yang mahu dilihat pada tahun 2025 adalah masyarakat berbilang kaum dan berlainan agama di negara ini bersatu padu tanpa menafi kan hak masing-masing.

“Kalau rujuk kepada persoalan apa yang mahu dibawa tahun ini, saya percaya kita semua ingin tengok kepelbagaian iaitu membudaya dan memanusiakan perpaduan.

“Oleh itu, keempat-empat ikhtiar yang dilakukan oleh KPN sudah pasti bertujuan mengeratkan hubungan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, bagaimanapun usaha tersebut bukan tanggungjawab kementerian atau agensi tertentu semata-mata tetapi melibatkan semua pihak.

“Perkara yang perlu dilakukan adalah menerapkan makna negara bangsa kepada semua terutamanya generasi muda. Perbezaan pendapat tidak seharusnya dijadikan penghalang.

“Senang sahaja menjaga sensitiviti dan hormat orang lain agar tidak menimbulkan salah faham apatah lagi hari ini ada media sosial yang kadang-kadang digunakan untuk menyebarkan berita palsu demi kepentingan tertentu,” katanya.

Kesedaran rakyat

Dalam pada itu, Duta Perpaduan Johor, Lim San Shien berpendapat, konsep Negara Bangsa hanya boleh direalisasikan dengan adanya kesedaran daripada rakyat yang mempunyai jiwa patriotisme serta semangat perpaduan.

SAN SHIEN
SAN SHIEN

Beliau yang juga Ikon Bahasa Melayu Negara memberitahu, perasaan cintakan negara, mendakap erat hubungan baik dan usaha memantapkan perpaduan negara harus terbit daripada sanubari rakyat dengan sukarela serta secara semula jadi.

“Oleh itu, pendidikan sivik dan kenegaraan, program menarik selain pendedahan kepada rakyat mengenai pentingnya perpaduan perlu diberi keutamaan.

“Ini kerana, ia merupakan kunci dan teras kepada kemajuan ekonomi, perkembangan sosial manusia yang positif dan pemangkin peradaban serta ketamadunan negara,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dan gembira dengan pencapaian Malaysia yang menduduki tempat ke-10 teratas dalam Indeks Keamanan Global yang membawa maksud negara ini antara paling aman di dunia.

“Rakyat harus ada kesedaran mengenai peranan masing-masing untuk membina negara yang bertamadun dan bersatu padu.

“Rakyat memainkan peranan penting sebagai entiti yang mendukung perpaduan negara dan sentiasa mengeratkan ukhuwah sesama rakan berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!