Malaysia dicadang berperanan dalam pembangunan semula Palestin

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan agar terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan Palestin susulan pengumuman gencatan senjata yang akan berkuat kuasa pada 19 Januari 2025.
Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ia termasuk mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah agresif terutama dalam membuka saluran bantuan kemanusiaan berasaskan Majlis Keselamatannya dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Kerajaan juga boleh menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas ke arah pembangunan semula Palestin dan Gaza dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dan pakar-pakar sektor penting seperti pembinaan, pendidikan, kesihatan serta ekonomi.
“Di samping itu, tindakan kejam rejim zionis wajib dipertanggungjawabkan. Selain ICJ dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), saya menggesa kerajaan Malaysia menyegerakan inisiatif untuk menyingkirkan negara pengganas Israel daripada PBB,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, perunding proses damai akhirnya mencapai kesepakatan pada Rabu untuk melaksanakan gencatan senjata di Genting Gaza selepas lebih 15 bulan wilayah tersebut dihujani bom dan meragut lebih 46,000 nyawa.
Kandungan perjanjian tersebut menggariskan fasa gencatan senjata awal termasuk pengunduran secara berperingkat pasukan tentera Israel dari Gaza dan pertukaran tahanan.
Berdasarkan draf akhir, Hamas bersetuju membebaskan 33 tawanan dengan pertukaran ratusan tahanan Palestin yang ditempatkan di penjara Israel.
Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang itu berpandangan, biarpun usaha perundingan untuk melaksanakan gencatan senjata di Genting Gaza disambut baik oleh ramai pihak, pelaksanaannya dijangka menghadapi pelbagai cabaran.
“Ia berikutan fasa awal perjanjian damai selama enam minggu atau 42 hari yang mula berkuat kuasa pada Ahad termasuk pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari semenanjung Gaza dan bantuan kemanusiaan berskala besar.
“Selain itu, perundingan proses damai tersebut turut melibatkan pembebasan tebusan Israel oleh Hamas sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang ditangkap oleh rejim zionis. Manakala, butiran fasa kedua dan ketiga akan dimuktamadkan selepas pelaksanaan pertama,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai persetujuan telah dicapai antara Hamas dan Israel, Syed Ibrahim berkata, ia memberi harapan baharu kepada rantau yang sedang bergolak dan sebagai batu loncatan ke arah keamanan.
“Perkara ini tentunya berita baik terutamanya buat rakyat di bumi Palestin yang telah kehilangan ahli keluarga, kemusnahan harta benda serta tempat tinggal selama peperangan itu berlaku.
“Gencatan senjata telah lama tertunggak dan peperangan lebih 15 bulan itu sudah mengorbankan puluhan ribu nyawa. Malah, ia turut disifatkan sebagai bencana kemanusiaan terburuk yang perlu dihentikan segera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
