Kegiatan seleweng diesel di jeti pendaratan ikan terbongkar

Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas tangki penyimpanan yang ditemui dalam pemeriksaan sekitar jeti pendaratan ikan di Tanjung Gemok, Rompin.
Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas tangki penyimpanan yang ditemui dalam pemeriksaan sekitar jeti pendaratan ikan di Tanjung Gemok, Rompin.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang menumpaskan cubaan menyeleweng 95,000 liter diesel disyaki bersubsidi bernilai RM256,500 hasil operasi bersepadu Ops Tanjung selama tiga hari bermula Selasa di sekitar jeti pendaratan ikan di Tanjung Gemok, Rompin.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, dalam operasi bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah jeti pendaratan ikan.

"Kami mendapati premis itu menyimpan 95,000 liter stok minyak diesel melebihi had 60,000 liter yang dinyatakan dalam Permit Barang Kawalan Berjadual.

"Turut merampas lima tangki berkapasiti 18,000 sehingga 30,000 liter dengan nilai anggaran RM63,000.

Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas tangki penyimpanan yang ditemui dalam pemeriksaan sekitar jeti pendaratan ikan di Tanjung Gemok, Rompin.
Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas tangki penyimpanan yang ditemui dalam pemeriksaan sekitar jeti pendaratan ikan di Tanjung Gemok, Rompin.

Menurutnya, premis itu juga didapati tidak mengemas kini buku stok barang kawalan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pembelian diesel tersebut.

"Kami percaya pihak terbabit memindahkan diesel itu dari bot ke tangki penyimpanan atau sebaliknya berdasarkan penemuan dua saliran paip mengandungi diesel," katanya.

Menurutnya, turut dirampas buku stok dan beberapa dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM319,500.

Artikel Berkaitan:

"Hasil operasi itu, empat kes telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berdasarkan empat lokasi pemeriksaan melibatkan tiga jeti pendaratan ikan dan sebuah pusat jualan diesel subsidi," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas pam yang disyaki digunakan untuk memindahkan diesel diseleweng.
Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas pam yang disyaki digunakan untuk memindahkan diesel diseleweng.

Susulan itu katanya, KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat berkaitan supaya mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika kesalahan itu melibatkan pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta.

"Bagi individu pula, denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala kesalahan kali yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Tambah beliau lagi, KPDN mengalu-alukan para pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian.

"Langkah itu selaras dengan inisiatif 'Kita Gempur' iaitu pelaksanaan langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan serta barang kawalan bersubsidi.

"Sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga boleh dilaporkan melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang telah disediakan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!