Melaka kesal aset kerajaan jadi medan iklan ajaran sesat

Rais Yasin bercakap kepada media ketika Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024/2025 Sekolah Kebangsaan Paya Rumput pada Khamis.
Rais Yasin bercakap kepada media ketika Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024/2025 Sekolah Kebangsaan Paya Rumput pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan aset kerajaan tanpa sebarang permit termasuk memasang kain rentang ajaran sesat.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, perbuatan itu bukan sahaja salah malah boleh menjejaskan kemeriahan dalam meraikan sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2026 yang akan diadakan di Melaka pada tahun ini.

"Saya belum mendapat laporan penuh berhubung perkara itu (iklan kain rentang ajaran sesat) tapi inilah tanggungjawab kita bersama untuk menjaga aset-aset pihak berkuasa tempatan (PBT) ini.

"Tak boleh salah guna walaupun untuk beri notis atas tujuan apa sekali pun dan saya telah arahkan PBT untuk segera menanggalkannya dalam masa sama akan melakukan pemantauan," katanya kepada pemberita ketika Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024/2025 Sekolah Kebangsaan Paya Rumput di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, demikian ketika diminta mengulas insiden satu kain rentang ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light yang dikesan dipasang di Peringgit Jaya di sini sejak pagi Khamis.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan pengguna jalan raya yang melalui jejantas Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) di Peringgit Jaya di sini sejak pagi Khamis terkejut dengan satu kain rentang ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light yang dipasang di situ.

Pengguna yang dikenali sebagai Hafizan berkata, setiap pagi dia akan melalui jalan itu untuk menghantar isterinya ke tempat kerja dan terkejut melihat kain rentang berwarna putih dan tercatat tulisan itu.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 9 pagi mendapati, kain rentang ajaran yang telah difatwakan sesat dan tertera tulisan 'Abdullah Hashem Adalah Al- Mahdi Ahmadi Agama Keamanan dam Cahaya dipercayai digantung individu tidak bertanggungjawab malam Rabu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!