Tulisan jawi warisan negara - Pakar

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Swee Tin)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Swee Tin)
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh sasterawan dan budayawan, Prof Datuk Dr Lim Swee Tin menyambut baik usaha kerajaan negeri Kedah yang bercadang mewajibkan penggunaan tulisan jawi di kesemua papan tanda dan iklan di negeri itu.

Tokoh Bahasa Melayu itu berpandangan, tulisan jawi juga masih mempunyai nilai ekonomi dan komersial yang tinggi malah usaha memartabatkan tulisan jawi seharusnya disokong oleh semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, tulisan itu juga adalah satu daripada warisan dan jati diri penduduk di negara ini dan setiap orang wajar menghormati, berasa bangga malah meletak tinggi keyakinan akan kedudukannya.

“Ini warisan kita, ia meninggalkan kesan nostalgia yang indah. Tulisan jawi juga wajar diperkasakan, dan generasi baharu hendaklah memahami keiltizaman semua pihak menjadikannya kebanggaan dan kemegahan kita di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung kerajaan negeri Kedah yang bercadang mewajibkan penggunaan tulisan jawi di kesemua papan tanda dan iklan di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria dilaporkan berkata, cadangan itu termasuk mewajibkan tulisan dan bahasa lain pada papan tanda dan iklan.

Menurutnya, kerajaan negeri bercadang mewajibkan penggunaan tulisan rumi sebagai tulisan pertama, jawi tulisan kedua dan bahasa lain sebagai tulisan ketiga.

Swee Tin berkata, sebenarnya sudah banyak negeri yang menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi namun dalam perkara itu ia perlu lebih diperkasakan lagi.

Jelasnya, sudah tiba masa untuk pihak berwajib melihat perkara itu dengan lebih serius dan memberikan penerangan kepada mereka yang meragui usaha untuk memartabatkan dan mengangkat warisan negara ke tahap selayaknya.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya, tindakan secara berhemah sebagaimana yang sering kali serta banyak dasar yang kita lakukan, ia boleh diterima. Sebarang kritikan bahkan jika ada pun tentangan ia bertitik tolak daripada ketidakyakinan orang kepada penjelasan yang dibuat,” ujar beliau.

Tambahnya, langkah yang dibuat tersebut akan diterima baik oleh semua lapisan masyarakat apabila memahami hakikat bahawa tulisan jawi adalah warisan dan tradisi di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!