Tujuan solat hajat elak agenda mengancam kesucian Islam berlaku

Seruan solat hajat serentak di seluruh negara rentetan solidariti kes Kamarul Zaman Yusoff menentang saman fitnah Hannah Yeoh hanya bertujuan untuk memohon doa agar sebarang agenda mengancam kesucian Islam tidak berlaku. (Gambar kecil: Masridzi Sat)
Seruan solat hajat serentak di seluruh negara rentetan solidariti kes Kamarul Zaman Yusoff menentang saman fitnah Hannah Yeoh hanya bertujuan untuk memohon doa agar sebarang agenda mengancam kesucian Islam tidak berlaku. (Gambar kecil: Masridzi Sat)
A
A
A

SHAH ALAM - Seruan solat hajat serentak di seluruh negara rentetan solidariti kes Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff menentang saman fitnah oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hanya bertujuan untuk memohon doa agar sebarang agenda mengancam kesucian Islam tidak berlaku.

Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama Negara (SKAN), Masridzi Sat berkata, perkara tersebut tidak bertentangan dengan undang-undang dan hanya bersifat peribadi.

"Solidariti bukan perkara baharu. Jika agama lain boleh bersolidariti untuk mempertahankan ajaran mereka, mengapa tidak kita terutama apabila wujud dakwaan mengatakan berlaku keadaan akidah umat Islam tergugat.

“Kandungan buku Hannah itu didakwa bukan sahaja berkisar tentang diri dan agamanya, malah beliau turut mengaku sebagai duta Tuhan yang mengajak mubaligh dari luar negara datang ke Malaysia untuk mengubah negara ini mengikut acuan Kristian,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada 24 Februari 2022, Hannah memfailkan saman balas terhadap Kamarul Zaman berhubung dua hantaran yang mendakwa beliau cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

Bagaimanapun, Kamarul Zaman dalam tuntutan balasnya menyatakan beliau bersedia membela diri dengan mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu di mahkamah.

Kamarul Zaman pada 30 Januari tahun lalu telah menarik balik saman fitnah yang difailkan beliau terhadap Hannah.

Tambah Masridzi, lebih 200 laporan polis telah dibuat berikutan kandungan buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ itu mengandungi unsur-unsur yang membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

“Kami menyeru umat Islam membuat lebih 200 laporan polis kerana buku tersebut masih belum diharamkan.

“Dalam buku berkenaan Hannah turut didakwa mengakui bahawa beliau menggunakan jawatan politiknya untuk menyebarkan agama Kristian di Malaysia,” ujarnya.

Jelas Masridzi, solat hajat tersebut boleh dilaksanakan di lokasi masing-masing bagi memudahkan semua jemaah menyertainya.

Dalam pada itu, Masridzi melahirkan kebimbangan berhubung penjualan buku berkenaan secara terbuka bukan hanya kepada penganut Kristian tetapi juga kepada orang Islam.

“Ini adalah perkara yang sangat berbahaya, memandangkan beliau merupakan menteri kepada belia. Majoriti golongan muda di negara ini merupakan umat Islam jadi tentu mudah untuk beliau mempengaruhi dan menjalankan agenda penyebaran Kristian kepada mereka,” dakwa beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!