Beri subsidi, peruntukan khas kepada pengusaha bas sekolah - MCA

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - MCA mengemukakan dua cadangan bagi menangani isu kenaikan tambang bas sekolah yang dijangka bermula pada sesi persekolahan Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat MCA, Datuk Dr Monna Ong berkata, cadangan tersebut melibatkan pemberian subsidi atau peruntukan khas kepada pengusaha bas sekolah dan penambahan bantuan tunai kepada ibu bapa yang menanggung lebih daripada seorang anak bersekolah.

Menurutnya, langkah itu perlu diambil bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kedua-dua pihak susulan peningkatan kos penyelenggaraan dan kenaikan kos sara hidup.

“MCA melihat situasi ini daripada pelbagai sudut, baik daripada kaca mata ibu bapa dan penjaga, mahupun pengusaha bas sekolah. Ia bagi mengimbangi atau setidak-tidaknya mengurangkan impak yang membebankan kedua-dua pihak.

“Peruntukan khas sama ada dalam bentuk tunai atau subsidi kepada pengusaha bas sekolah adalah bagi tujuan menampung kos-kos yang berkaitan seperti penyelenggaraan dan alat ganti.

“Perlu diingat bahawa pada 1 Mac 2024, kadar kutipan cukai SST telah dinaikkan daripada 6peratus kepada 8peratus. Dalam masa sama, pelbagai cukai baharu diperkenalkan, termasuk pengurangan subsidi bahan api,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut mencadangkan untuk menambah peruntukan tunai kepada ibu bapa atau penjaga yang menanggung lebih daripada seorang anak atau jagaan yang bersekolah bagi menampung keperluan pengangkutan atau logistik pelajar terutama dikalangan keluarga memerlukan.

Jelasnya, walaupun Kementerian Pendidikan diberi peruntukan tertinggi dalam sejarah dalam Belanjawan 2025 iaitu sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion ringgit tahun 2024, ia lebih kepada menaik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Monna mencadangkan sebahagian daripadanya boleh diperuntukkan bagi tujuan menangani isu tambang bas sekolah.

“Sudah pasti setiap kenaikan harga barang dan perkhidmatan akan memberi kesan kepada semua pihak. Ibu bapa terkesan dengan kenaikan harga tambang manakala pengusaha bas sekolah pula terkesan dengan peningkatan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi, termasuk kenaikan harga alat ganti serta pelaksanaan kadar gaji minimum baharu.

“Jika isu ini tidak dapat diatasi, ia dikhuatiri menjejaskan imej kerajaan dan bercanggah dengan enam rukun utama Madani itu sendiri iaitu antara lain mementingkan aspek ‘ihsan’ terhadap rakyat.

“MCA berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perkhidmatan pengangkutan pelajar,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof memaklumkan bahawa pengusaha bas telah menyuarakan hasrat untuk menaikkan tambang berkenaan, namun keputusan akhir akan dibuat berdasarkan persetujuan antara mereka dan pihak ibu bapa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula berkata, kementeriannya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang kenaikan harga tambang bas sekolah yang dijangka berlaku pada Februari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!