[VIDEO] 'Guna peruntukan khas bencana pusat bukannya dibebankan wang ehsan' - Exco
KEMAMAN - Exco kerajaan negeri menempelak kenyataan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berhubung penggunaan peruntukan bayaran dana khas (wang ehsan) bagi menangani segera masalah hakisan pantai yang berlaku di beberapa kawasan di Kuala Nerus.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, masalah hakisan pantai itu sewajarnya diselesaikan melalui peruntukan khas bencana daripada kerajaan pusat dan bukannya membebankan wang ehsan yang diperuntukkan bagi pembangunan rakyat.
"Saya menyokong usaha menangani masalah hakisan ini tetapi adalah lebih baik kita mendapatkan bantuan daripada pusat.
"Wang ehsan ini perlu digunakan dalam perkara lain yang memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan di Pantai Teluk Kalong di sini pada Khamis.

Pada Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menggesa kerajaan Terengganu memohon bantuan kerajaan pusat termasuk menggunakan peruntukan bayaran dana khas (wang ehsan) bagi menangani segera masalah hakisan pantai yang berlaku di beberapa kawasan di daerah ini.
Ahmad Razif berkata, tindakan segera amat diperlukan bagi memastikan masalah itu dapat dikekang sekali gus tidak merebak ke tempat lain.
Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya menghargai cadangan daripada Ahmad Razif namun berpandangan tindakan tersebut mempunyai motif politik tertentu.
Beliau menyatakan Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu seakan berpura-pura tidak tahu tentang bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri, sedangkan isu hakisan pantai jelas melibatkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Cadangan ini agak luar biasa kerana wang royalti kita pun tak boleh (diterima) seperti biasa. Jadi, kalau nak guna wang ehsan, nak pakai bagaimana?,” ujarnya.
Berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, sebanyak 34 kawasan pantai dikenal pasti terhakis sepanjang tahun lalu.
Antara paling terjejas ketika ini ialah Pantai Mengabang Telipot, Pangkalan Maras dan Kampung Tanjung Batu Rakit yang memusnahkan jalan raya, rumah penduduk, kedai makan dan chalet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!