[VIDEO] Sorok 4.5 juta rokok putih dalam kontena pakaian lusuh

A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras membabitkan jumlah sitaan serta cukai sebanyak RM7.02 juta.

Pengarahnya, Rohaizad Ali berkata, rampasan tersebut dibuat dalam dua pemeriksaan yang dijalankan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada Disember lalu.

Menurutnya, dalam pemeriksaan pertama, sebanyak 4.5 juta batang rokok putih dengan nilai berserta cukai RM4.48 juta yang disorokkan di sebalik pakaian lusuh dalam sebuah kontena berjaya dirampas.

Rohaizad (kiri) menunjukkan beberapa karton pakaian lusuh yang digunakan sebagai modus operandi sindiket menyeludup rokok tanpa cukai.
Rohaizad (kiri) menunjukkan beberapa karton pakaian lusuh yang digunakan sebagai modus operandi sindiket menyeludup rokok tanpa cukai.

Jelasnya lagi, kesemua rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Asia Tenggara dan transit di Malaysia sebelum dibawa ke Asia Selatan.

"Pemeriksaan kontena tersebut dijalankan pada jam 11.20 pagi, 26 Disember lalu oleh sepasukan pegawai dari Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui 4.5 juta batang rokok putih yang disembunyikan di sebalik 175 karton pakaian lusuh dan terpakai.

"Separuh daripada kontena diisi dengan pakaian lusuh manakala separuh lagi iaitu di bahagian belakang diisi dengan rokok tidak bercukai.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua barangan disyaki tidak berkastam itu dianggarkan bernilai RM1.37 juta dengan melibatkan cukai berjumlah RM4.48 juta," katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan JKDM Bagan Jermal di sini pada Rabu.

Tambah beliau, rokok putih yang diimport diklasifikasikan sebagai Barang Larangan Import dan tertakluk di bawah Item 1, Jadual Ketiga, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Rohaizad menunjukkan gambar kontena yang memuatkan pakaian lusuh di sebalik rokok tidak bercukai.
Rohaizad menunjukkan gambar kontena yang memuatkan pakaian lusuh di sebalik rokok tidak bercukai.

"Tiada tangkapan dalam pemeriksaan ini namun kes masih dalam siastaan. Rokok yang dirampas ini selalunya digunakan oleh warga asing.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, dalam pemeriksaan kedua, Rohaizad berkata, pihaknya merampas 52,790 tin minuman keras dianggarkan bernilai RM264,000 dengan melibatkan cukai RM917,083 dalam sebuah kontena pada jam 11.20 pagi, 12 Disember lalu.

"Pemeriksaan mendapati, syarikat yang terlibat telah membuat pengikraran tidak benar ke atas dagangan iaitu sebagai perabot.

"Tiada tangkapan dibuat kerana syarikat tersebut telah menggunakan alamat palsu untuk barang dagangan itu," tambahnya.

JKDM Pulau Pinang merampas 52,790 tin minuman keras dianggarkan bernilai RM264,000 dengan melibatkan cukai RM917,083 dalam sebuah kontena pada jam 11.20 pagi, 12 Disember lalu.
JKDM Pulau Pinang merampas 52,790 tin minuman keras dianggarkan bernilai RM264,000 dengan melibatkan cukai RM917,083 dalam sebuah kontena pada jam 11.20 pagi, 12 Disember lalu.

Menurut beliau, minuman keras yang diimport diklasifikasikan sebagai Barang Larangan Import dan tertakluk di bawah Item 3, Jadual Ketiga, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Siasatan awal mendapati, kontena tersebut dari Asia Timur namun siasatan masih dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!