Dua projek di Pulau Pinang dipercepat - PM

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Persekutuan memberi jaminan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua akan dipercepatkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu bagi memenuhi kepentingan rakyat di negeri ini serta pelancong luar.

Menurutnya, pembesaran LTAPP amat penting bagi usaha menyokong tarikan kumpulan pelabur dan penggiat industri termasuk syarikat logistik manakala projek lebuh raya untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan Seberang Jaya.

"Ini selari dengan aspirasi kita untuk menjadikan Pulau Pinang lebih moden namun tetap kaya dengan elemen budaya," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang di sini pada Sabtu.

Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua antara beberapa projek utama untuk Pulau Pinang yang diumumkan Anwar pada Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu selain Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, projek pembesaran LTAPP dan Taman Perindustrian Batu Kawan 3.

Perkara itu disambut baik Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang berharap ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat kerana ia merupakan keperluan yang amat meruncing ketika ini.

Kon Yeow berkata, projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang dijangka dilaksanakan melalui perkongsian awam-swasta (PPP) dan PLUS Malaysia Berhad serta Unit Perkongsian Awam-Swasta (UKAS) bersama beberapa agensi berkaitan kini sedang diteliti.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!