Tony dakwa kenyataan Ka Siong mengenai Skim mySalam tak berasas

Tony Pua -Foto Bernama
Tony Pua -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen DAP, Tony Pua mendakwa pelbagai spekulasi tidak berasas dan tohmahan tidak benar dikeluarkan Pengerusi MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkaitan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Menurut Tony, Ka Siong membangkitkan kembali kes-kes berkaitan dengan masalah tuntutan lama yang telah dilaporkan oleh media tahun lalu sedangkan hal-hal berkaitan telah pun dijelaskan secara terperinci oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah mySalam pada 6 November 2019.

“Antaranya, tuntutan bermasalah pertama tidak mempunyai maklumat yang lengkap seperti pengesahan daripada doktor. Tuntutan bermasalah kedua pula telah ditolak kerana pemohon tersebut telah menerima tuntutan hospitalisasi maksimum setahun iaitu sebanyak RM700.

“Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan bukan satu tetapi dua surat pekeliling kepada semua pengarah hospital, pengarah kesihatan negeri dan pengarah institusi pada 14 Ogos 2019 dan 13 Januari 2020 agar caj bayaran laporan perubatan dikecualikan daripada pesakit yang membuat tuntutan Skim mySalam,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Mengulas lanjut, Tony yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu berkata, keadaan itu jelas membuktikan keikhlasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha meringankan bebanan pesakit apabila tiada caj tambahan dikenakan ke atas pihak pesakit.

“Kalau beliau tidak tahu, biar saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan sekali lagi kepada Pengerusi MCA bahawa Skim mySalam ini tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak kecuali rakyat Malaysia.

“Semua premium yang dibayar kerajaan, jika tidak digunakan sebagai tuntutan oleh penerima manfaat, akan dibayar balik kepada Tabung Amanah mySalam. Sekali lagi, hal ini telah pun dijelaskan secara berulang kali di Dewan Rakyat dan melalui kenyataan rasmi Kementerian Kewangan pada 6 Ogos 2019.

“Seperti mana-mana kebiasaan pelaksanaan inisiatif baru, proses penyebaran maklumat, aktiviti-aktiviti meningkatkan kesedaran untuk ianya menjadi tuntutan akan mengambil masa yang agak lama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah tuntutan sebanyak RM13.7 juta untuk tahun 2019 yang diumumkan dengan telusnya tidak bermakna bahawa baki dana lesap disonglap seperti di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

“Sebaliknya, ia diperuntukkan untuk penerima-penerima skim mySalam untuk tahun-tahun yang akan datang. Kerajaan PH akan terus mempertingkatkan kerja-kerja penyebaran maklumat kepada orang ramai melalui usaha seperti penubuhan kiosk-kiosk mySalam di hospital-hospital kerajaan di setiap negeri untuk membantu rakyat dengan tuntutan-tuntutan Skim mySalam.

“Mungkin Dr Wee (Ka Siong) tidak faham mengenai matlamat Skim mySalam kerana skim kebajikan dan takaful yang membantu golongan berkeperluan menghidap penyakit kritikal atau kehilangan pendapatan kerana terpaksa dihospitalisasi, tidak pernah dilaksanakan kerajaan BN,” katanya.

Tony turut menyarankan Ka Siong menggunakan laman sosial media beliau untuk membantu berkongsi maklumat tepat dan sahih mengenai Skim mySalam daripada membazir masa menyebarkan tohmahan tidak berasas.

“Macam ini, lebih ramai lagi rakyat Malaysia dapat menikmati manfaat takaful mySalam kecuali Dr Wee memang tidak inginkan manfaat ini kepada rakyat.

“Janganlah disebabkan keangkuhan tidak mahu mengiktiraf kebaikan dilakukan kerajaan PH sanggup mengeluarkan bermacam tohmahan yang bukan sahaja mengelirukan malah mengaburi mata rakyat yang memerlukan bantuan kesihatan daripada kerajaan dengan mengeluarkan bermacam tohmahan palsu,” katanya.