Kenaikan SARA perlu disusuli kawalan harga barang

SHAH ALAM - Peningkatan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bakal memberi kesan positif terhadap kuasa beli rakyat Malaysia, khususnya golongan miskin tegar dan mereka yang tersenarai dalam eKasih.
Bagaimanapun, penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhammad Senan berkata, peningkatan ini perlu disusuli dengan kawalan harga barangan keperluan agar benar-benar dapat dimanfaatkan.
Menurut beliau, menerusi SARA, penerima bantuan akan mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan ke atas keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan kesihatan.
Secara tidak langsung, katanya, ia dapat membantu penerima mendepani kenaikan kos sara hidup.
“Bagaimanapun, jika kadar inflasi bagi barangan asas meningkat lebih tinggi daripada kenaikan bantuan, kuasa beli sebenar penerima mungkin terhakis.
“Oleh itu, walaupun bantuan ini dapat mengurangkan tekanan kewangan dalam jangka pendek, ia perlu disertai dengan kawalan harga barangan keperluan agar manfaatnya lebih efektif,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohamad Khair Afham berkata, langkah kerajaan meningkatkan kadar bantuan itu juga secara tidak langsung merangsang permintaan dalam sektor runcit dan perniagaan kecil.
Ujarnya, ini kerana golongan berpendapatan rendah cenderung membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka dalam ekonomi tempatan.
“Kesan pengganda daripada perbelanjaan ini akan memberi rangsangan kepada ekonomi negara, terutama dalam sektor makanan dan barangan keperluan.
“Pun begitu, untuk memastikan keberkesanan jangka panjang, kerajaan perlu memastikan bantuan ini disasarkan dengan baik agar tidak berlaku ketirisan atau pemberian kepada golongan yang tidak benar-benar memerlukan,” ujarnya.
Dari segi penerima pula, katanya, peningkatan bantuan SARA memberi pulangan dalam bentuk kesejahteraan lebih baik kepada rakyat Malaysia untuk mengurangkan tekanan kewangan dan meningkatkan kualiti hidup.
Namun, ujar beliau, terdapat risiko terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan sekiranya tidak disertakan dengan program peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan.
Bagi pembantu gerai di Pahang, Zulhazreen Zuldin, 30, berkata, SARA adalah berita yang amat menggembirakan dan rezeki buatnya untuk tahun 2025.
"Bagi saya, peningkatan kadar bantuan SARA berbaloi jika diambil kira kenaikan harga barang ketika ini. Sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kami.” katanya.
Dalam pada itu, pembantu kedai makan di Kelantan, Anisah Yaacob, 55, berkata, sebelum ini dia pernah terputus barang keperluan sebelum ini dan penambahan SARA kepada RM200 sebulan sedikit sebanyak dapat meringankan beban.
"Jadi dapatlah saya gunakan untuk perbelanjaan makanan empat anak saya manakala duit upah kerja pula saya boleh gunakan untuk belanja sekolah mereka.” ujarnya.
Muhammad Jailani Ahmad Zawawi, 36, dari Negeri sembilan pula menyifatkan bantuan SARA itu amat diperlukan memandangkan dia berada dalam kategori kurang berkemampuan.
"Jadi bila kerajaan umum kadar dinaikkan, saya sangat lega kerana dapatlah tampung sedikit kos sara hidup kami yang sekadar cukup makan.” katanya yang bekerja sendiri.
Sementara itu, Daud Burok, 57, dari Melaka turut bersyukur dengan kenaikan SARA yang disifatkan membantu meringankan beban rakyat.
"Saya telah diberhenti kerja selepas kilang ditutup. Memang SARA ini amat membantu ringankan beban saya sekeluarga lebih-lebih lagi sukar untuk mencari kerja baharu di usia sebegini. Anak bongsu saya juga masih belajar di universiti.” katanya.
Bagi peniaga makanan di Johor, Abdul Hakim Abu Talib, 29, mengakui SARA banyak membantu terutamanya untuk perbelanjaan harian.
"Syukur jumlahnya dinaikkan tahun ini, sangat diperlukan untuk kami berbelanja barang keperluan.” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!