KPDN perlu tingkat penguatkuasaan harga barang - Lam Thye

 Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu meningkatkan tahap penguatkuasaan dalam membuat pemeriksaan di semua tempat jualan bagi memantau kenaikan harga barang.

Aktivis sosial, Tan Sri Dr Lee Lam Thye berkata, perkara itu bertujuan untuk tidak membebani masyarakat terutamanya golongan berpendapatan terendah.

Menurutnya, sekiranya harga barangan mengalami kenaikan, bantuan yang diterima golongan tersebut tidak memberi manfaat buat mereka.

"Saya sangat menyokong cadangan untuk memberikan pembayaran khas kepada golongan pendapatan rendah terutamanya mereka dari kumpulan B40 dan M40.

"Tetapi yang saya anggap amat penting adalah lebih banyak bantuan diberikan, tetapi untuk akhirnya kenaikan harga barang tidak dapat dikawal, ia tidak akan memberikan apa-apa manfaat kepada mereka. Namun pemberian bantuan itu amat perlu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun sebelumnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar bantuan itu akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan mulai April depan.

Tambah Lam Thye yang juga Pengerusi Perikatan Untuk Komuniti Selamat itu, kenaikan berkenaan tepat pada masanya memandangkan kos hidup yang melambung naik.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!