Pengurus syarikat rugi RM1.63 juta terpedaya pelaburan kripto tidak wujud

Mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan setelah memindahkan wang ke akaun bank suspek. FOTO HIASAN
Mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan setelah memindahkan wang ke akaun bank suspek. FOTO HIASAN
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengurus syarikat swasta rugi RM1.63 juta selepas membuat pemindahan wang sebanyak 15 kali akibat terpedaya dengan pelaburan kripto tidak wujud.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima satu laporan di Ampang Jaya, Selangor berkaitan kes penipuan pelaburan kripto secara dalam talian yang tidak wujud.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 61 tahun mengalami kerugian berjumlah RM1.63 juta setelah tertarik dengan satu iklan pelaburan kripto mata wang asing yang diiklankan menerusi Facebook.

"Pengadu telah berhubung dengan suspek melalui panggilan telefon dan suspek kemudiannya telah memberikan satu link pelaburan iaitu www.uvkxeoe.com/#/exchange bagi tujuan pelaburan.

"Pengadu telah membuat 15 kali pindahan wang secara dalam talian ke dalam enam akaun bank suspek yang berbeza bagi tujuan membeli mata wang dolar Amerika Syarikat untuk ditukarkan ke dalam mata wang kripto.

"Bagaimanapun pengadu tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan setelah memasukkan wang tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.

"Tawaran pelaburan tersebut khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!