Lapor kegiatan rasuah, usah sekongkol dengan penjenayah

SHAH ALAM - Penjawat awam sekali lagi diingatkan supaya berpegang teguh kepada prinsip integriti dan tidak memejamkan mata atau memekakkan telinga terhadap salah laku rasuah.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia kerana perbuatan sedemikian boleh dianggap bersekongkol atau bersubahat dengan penjenayah rasuah.
Menurutnya, penjawat awam tidak perlu takut kerana terdapat peruntukan undang-undang yang akan melindungi pemberi maklumat atau melaporkan suapan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Seksyen 65, Akta SPRM 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
"Masih ramai penjawat awam memiliki tahap integriti rendah, tak takut larangan agama dan undang-undang, malah keras hati tidak pandang pun ganjaran dalam bentuk kewangan oleh kerajaan.
"Segelintirnya lebih suka ambil duit haram dan kumpul harta yang dilaknat ALLAH SWT. Inilah bahananya jika golongan tak berintegriti masih berada dalam perkhidmatan awam.
"Kalau mereka lapor cubaan atau tawaran rasuah kepada SPRM, sudah tentu orang awam khususnya penjenayah, penyeludup dan sindiket terlibat kecut perut, malah gerun untuk tawar suapan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Jais turut berpandangan, sejak kerajaan mengeluarkan Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Pegawai Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah berkuat kuasa 11 Mei 2011, golongan paling ramai ditangkap kerana jenayah rasuah masih penjawat awam.
Tambahnya, mengikut rekod SPRM antara 2012 hingga 2020, hanya 0.01 peratus daripada 1.53 juta penjawat awam yang berani melaporkan kes rasuah dalam jabatan atau agensi masing-masing.
"Statistik ini terlalu rendah dan tidak sepatutnya berlaku.Tujuan utama pekeliling ini dikeluarkan bukan sahaja menggalakkan, tetapi meletakkan tanggungjawab kepada penjawat awam untuk lapor bagi membendung ketirisan hasil pendapatan serta perbelanjaan kerajaan.
"Satu kesalahan jika mereka tak lapor. Kegagalan berbuat demikian mendedahkan kepada tindakan undang-undang mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009 yang berdepan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!