242 usahawan wanita tempatan tingkat kapasiti digital dengan Korea Selatan

Para usahawan yang menerima sijil pada Majlis Tamat Latihan Usahawan IDEAS Malaysia di Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Para usahawan yang menerima sijil pada Majlis Tamat Latihan Usahawan IDEAS Malaysia di Kota Bharu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 3,000 usahawan wanita ASEAN termasuk 242 dari negara ini menerima manfaat peningkatan kapasiti digital dengan rakan strategik Korea Selatan menerusi Projek Peningkatan Kemahiran Digital dan E-Dagang Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana Wanita ASEAN (IDEAS).

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantaun), Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Noor Afifah Abdul Razak berkata, manfaat ilmu pengetahuan digitalisasi secara berstruktur dan berpusat di bawah perlaksanaan IDEAS dipantau secara berkala oleh ASEAN Coordinating Committee on MSMEs (ACCMSME).

Noor Afifah FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Noor Afifah FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

“Laporan dibuat kepada ACCMSME yang dianggotai oleh negara-negara ASEAN termasuk Malaysia yang mana KUSKOP adalah wakil tetap ke ACCMSME.

“Hampir 3,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita di seluruh negara ASEAN mendapat manfaat untuk menimba ilmu digitalisasi yang mana 242 daripadanya adalah rakyat negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Sijil Tamat Latihan Usahawan IDEAS Malaysia di sebuah hotel di Tunjong di sini pada Isnin.

Menurutnya, Mesyuarat ACCMSME ke-18 di Bali, Indonesia pada Oktober tahun lalu turut membincangkan prestasi pelaksanaan dan perancangan pelbagai aktiviti bagi memastikan keberkesanan serta kesinambungan Projek IDEAS.

“Korea Selatan mempunyai perancangan hingga tahun 2026 antaranya memilih peserta projek untuk menyertai ekspo keusahawanan di negara itu kelak.

Artikel Berkaitan:

Noor Afifah (kanan) menyampaikan sijil kepada peserta terbaik IDEAS Malaysia, Wan Samsiah Wan Mohd Noor yang berkerusi roda. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Noor Afifah (kanan) menyampaikan sijil kepada peserta terbaik IDEAS Malaysia, Wan Samsiah Wan Mohd Noor yang berkerusi roda. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

“Ini merupakan peluang kepada usahawan wanita di negara ini untuk meneroka dan menembusi pasaran global serta mengangkat martabat mereka dalam bidang perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Noor Afifah berkata, KUSKOP yakin IDEAS akan membantu lebih ramai usahawan wanita PMKS untuk meluaskan potensi perniagaan mereka melalui aplikasi digital dan e-dagang dengan lebih berkesan.

“Pada masa ini, kita dapat lihat peningkatan usahawan yang menggunakan platform perniagaan di media sosial seperti Lazada, Shopee, TikTok dan Instagram sebagai pilihan platform untuk meluaskan akses kepada pelanggan.

“Sekiranya transisi perniagaan kepada platform digital ini dilaksanakan dengan lebih berstruktur, usahawan berpotensi untuk menjangkau kepada lebih ramai pelanggan tempatan mahupun di rantau ASEAN,” katanya.

Tambah beliau, sebagai aspirasi untuk mencapai status negara maju, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dirangka dengan matlamat untuk membangunkan ekosistem keusahawanan yang mampan, inklusif dan dinamik.

“Melalui dasar ini, KUSKOP akan terus memperkukuhkan sumbangan PMKS sebagai tulang belakang ekonomi negara.

“Prestasi sumbangan PMKS kepada ekonomi Malaysia, khususnya penglibatan wanita kini membentuk hampir 21 peratus atau 230,000 daripada 1.1 juta jumlah keseluruhan usahawan yang ada di negara ini,” katanya.

Tambahnya, PMKS yang merangkumi sebanyak 1.1 juta perusahaan atau 96.9 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia pada tahun 2023 mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak lima peratus yang mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan sebanyak 3.6 peratus.

“Prestasi ini memperlihatkan sumbangan PMKS kepada ekonomi negara meningkat kepada RM613.1 bilion pada tahun 2023 atau 39.1 peratus sumbangan kepada KDNK serta merekodkan nilai dagangan eksport sebanyak RM152.2 bilion atau 12.2 peratus.

“Selain itu, PMKS yang mewakili 48.5 peratus daripada landskap pekerjaan negara ini melibatkan tenaga kerja seramai 7.86 juta individu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!