Jenayah kini berpindah ke dalam bilik

SHAH ALAM - Menyedari keselamatan pengguna dalam talian di negara ini yang semakin terancam dengan pelbagai kandungan tidak sihat seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dan perbuatan buli siber melampau, kerajaan ternyata melihat situasi itu secara serius.
Ia dibuktikan dengan langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari lalu.
Tindakan yang dibuat ini juga merupakan antara usaha awal kerajaan ke arah pengendalian media sosial lebih beretika pada masa depan bagi mengekang budaya negatif daripada terus berleluasa.
Inisiatif daripada kerajaan semata-mata tidak mencukupi bagi mengekang ancaman berkenaan, sebaliknya ia memerlukan usaha kolektif semua pengendali media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia.
Kerajaan ambil langkah tepat
Oleh itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Dr Mohd Azlishah Othman berkata, platform media sosial wajar memastikan kandungan yang dimuat naik oleh pengguna masing-masing memenuhi kriteria ditetapkan agar tidak melampaui batas ditetapkan.

Ini kerana katanya, kes melibatkan jenayah seperti buli siber, penipuan dalam talian dan eksploitasi seksual kanak-kanak semakin membimbangkan serta memerlukan tindakan tegas bagi mengelak ia terus menjadi barah.
"Langkah kerajaan yang mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di negara ini diwajibkan memohon lesen dilihat sebagai tepat pada masanya.
"Tindakan ini penting bagi membolehkan kawalan dibuat terhadap elemen akan datang seperti kecerdasan buatan (AI) yang berupaya melakukan pelbagai bentuk kandungan atau makumat yang boleh mengelirukan pengguna lain bagi tujuan yang tidak sihat.
"Jadi, di sinilah tanggungjawab yang perlu dimainkan pengendali media sosial dengan memastikan kandungan yang dimuat naik ke platform masing-masing tidak memberi ancaman kepada pengguna lain," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Dr. Azlishah lagi, mengambil kira jenayah teknologi baharu yang begitu mudah dilakukan hanya di hujung jari, masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk lebih peka dengan keadaan sekeliling.
Ujarnya, ancaman jenayah masa kini bukan lagi bersifat fizikal semata-mata tetapi telah berpindah dari jalanan ke bilik tidur melalui pelbagai peralatan teknologi atau peranti.
"Jenayah kini bukan lagi berlaku di luar rumah semata-mata tetapi ia telah bertukar kepada peralatan teknologi yang boleh dilakukan hanya di hujung jari antaranya melakukan buli, menyebar berita palsu dan penipuan-penipuan lain.
"Jadi, dalam hal ini masyarakat juga perlu diberi pendedahan yang lebih meluas antaranya melalui kempen-kempen kesedaran dan sebagainya.
"Bagi kami di pihak universiti juga turut melaksanakan pelbagai aktiviti mendekati masyarakat khususnya di luar bandar agar turut didedahkan dengan maklumat mengenai ancaman jenayah dalam talian ini," katanya.
Bukan sekat kebebasan rakyat
Sementara itu, Ketua Kluster Penyelidikan (Teknologi Pintar dan Sistem) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Azwa Abdul Aziz menegaskan, usaha yang dilakukan kerajaan tersebut berupaya memberikan keseimbangan dalam pelaksanaan ekosistem penggunaan media sosial khususnya berkaitan kes atau isu membabitkan jenayah sivil.

Beliau berkata, semua pihak perlu melihat pelaksanaan Akta 588 dalam aspek positif terutamanya dalam membendung jenayah di media sosial yang semakin membimbangkan.
Malah katanya, dakwaan yang mengaitkan langkah kerajaan menguatkuasakan peraturan tersebut bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat di negara ini juga tidak benar sama sekali.
"Peraturan ini juga jelas memfokuskan kepada pengendali media sosial, bukan pengguna secara individu. Jadi, bagi saya tidak timbul dakwaan ini diambil untuk menyekat kebebasan bersuara di Malaysia.
"Undang-undang ini sebenarnya untuk mengekang jenayah seperti buli siber, eksploitasi seksual kanak-kanak dan penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan supaya pihak pengendali lebih peka dan tangani sebaiknya perkara ini," katanya.

Dr. Azwa menambah, langkah yang diperkenal oleh MCMC bukan perkara baharu kerana ia turut diamalkan di beberapa negara termasuk di benua Eropah, India dan Singapura.
"Pelesenan ini juga akan menyebabkan pengendali media sosial dapat mempertingkatkan kawalan terhadap penyebaran maklumat tidak sahih.
"Usaha yang dilakukan ini juga bukan sahaja melindungi pengguna tetapi juga memelihara ketenteraman awam dan integriti maklumat," katanya.
MCMC pada 2 Januari lalu memaklumkan, empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah mengorak langkah ke arah pematuhan kawal selia dengan memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.
Menurut agensi itu, Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)), menjadikannya penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
Selain WeChat, ByteDance (TikTok) juga berjaya memperoleh lesen mereka manakala Telegram di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat.
MCMC sebelum ini memaklumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.
Langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!