Pentadbiran Trump 2.0 akan lebih huru-hara?

PENGGAL kedua pentadbiran bakal Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, 78, bakal bermula pada 20 Januari ini.
Kempen pilihan raya beliau pada 2024 menjanjikan penyusunan semula lebih teratur berbanding ketika penggal pertama dengan memberi fokus sama terhadap pemotongan cukai dan mengenakan tarif lebih tinggi.
Pada 2016, sepanjang pentadbiran pertama Trump, Washington berdepan tempoh inflasi rendah berpanjangan dan menyaksikan Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah hampir sifar. Agak berbeza pada kali ini, inflasi meningkat ketika pandemik Covid-19 selain kadar faedah kekal tinggi.
Trump mencadangkan pemotongan cukai pada 2025, sebahagian besarnya melibatkan golongan kaya dan akibatnya kehilangan hasil akan menjejaskan kemampanan fiskal jangka panjang.
Defisit lebih besar akan mengekalkan kadar faedah lebih tinggi daripada sepatutnya dan dolar mungkin mengukuh, mewujudkan kesukaran bagi pengeksport AS dan negara yang telah meminjam dalam dolar.
Berhubung isu tarif, Trump dijangka mengenakan tarif berprofil tinggi yang bakal menyaksikan gelombang bantahan daripada rakan dagang dan syarikat besar yang menyokongnya.
Isu paling diperjuangkan beliau adalah pengusiran jutaan pendatang haram yang dikhuatiri menjejaskan sektor utama penyumbang kepada ekonomi seperti pertanian dan pembinaan.
Kira-kira seminggu sebelum Trump kembali ke Rumah Putih, pentadbiran pendahulunya, Joe Biden melanjutkan tempoh perlindungan kemanusiaan terhadap kira-kira 230,000 warga Salvador dan 600,000 rakyat Venezuela menetap di AS yang dilihat sengaja mahu merosakkan rancangan pengusiran pemimpin sarat kontroversi itu.
Tiada apa yang berubah sejak penggal pertama, beliau masih bercakap sembarangan selain menggunakan bahasa kasar apabila berkonfrontasi dengan China dan Iran serta melancarkan perang retorik terhadap pihak tidak disukainya.
Rancangan caca marba Trump 2.0 turut mencetuskan kebimbangan komuniti antarabangsa terutamanya berkenaan impak kepada ekonomi global.
Agenda populis beliau juga penuh kejutan seperti idea membeli Greenland, menamakan semula Teluk Mexico kepada Teluk Amerika, mengambil alih kawalan Teluk Panama dan menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 AS.
Adakah ini benar-benar bakal direalisasikan pentadbiran Trump 2.0 atau sekadar angan-angan mat jenin?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!