Trump kembali dengan 'teori orang gila'

Donald Trump telah mencetuskan 'huru-hara' kepada dunia politik global selepas sidang media di Mar-a-Lago pada Selasa.
Donald Trump telah mencetuskan 'huru-hara' kepada dunia politik global selepas sidang media di Mar-a-Lago pada Selasa.
A
A
A

WASHINGTON - Belum pun kembali memegang jawatan secara rasmi di Rumah Putih pada 20 Januari ini, bakal Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mencetuskan 'huru-hara' kepada dunia politik global selepas sidang media di Mar-a-Lago pada Selasa.

Beliau dengan angkuh mengumumkan rancangan konkrit di bawah pentadbiran radikal Trump 2.0 termasuk langkah pemotongan cukai dan menguji had Perlembagaan terhadap kuasa eksekutif yang dilihat bakal 'menterbalikkan' kerajaan persekutuan.

Bukan hanya mahu 'memporak-perandakan' negara sendiri, Trump, 78, turut mengancam kedaulatan wilayah dan negara lain termasuk Kanada, Greenland dan Panama.

Pakar sendiri tidak dapat memastikan sama ia hanyalah retorik atau pelan sebenar beliau, namun pengumuman itu telah mendapat perhatian komuniti antarabangsa.

Seluruh pandangan dasar luar dan keselamatan beliau jelas berlandaskan doktrin Nixon atau teori orang gila (madman theory) diperkenalkan Presiden ke-37 AS, Richard Nixon.

Teori orang gila tersebut berpendapat seseorang pemimpin mempunyai kuasa dan boleh melakukan apa sahaja selain memujuk sasaran untuk membuat konsesi.

Sebagai contoh, Trump juga tidak menolak kemungkinan penggunaan tindakan ketenteraan untuk menakluki Nuuk atau mengambil alih Terusan Panama yang telah mencetuskan kebimbangan besar kepada kedua-dua negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Panama mengambil alih Terusan Panama pada 1999 setelah kawalan bersama dengan AS selama beberapa dekad.
Panama mengambil alih Terusan Panama pada 1999 setelah kawalan bersama dengan AS selama beberapa dekad.

Sejak beberapa hari lalu, warganet menjadikan idea gila mempamerkan ketamakan Trump yang mahu memperluaskan empayar Amerika sebagai siri jenaka dan dijadikan meme (sindiran dalam talian).

Mahu ubah peta Hemisfera Barat

Pelan tidak masuk akal Trump sebenarnya bertujuan untuk melukis semula peta Hemisfera Barat setelah beliau menyebut ia sebagai permulaan zaman kegemilangan Amerika.

Beliau memberi alasan rancangan untuk 'membeli' Greenland daripada Denmark kononnya untuk tujuan keselamatan negara.

Greenland menempatkan pangkalan radar AS sejak Perang Dingin.
Greenland menempatkan pangkalan radar AS sejak Perang Dingin.

"Saya bercakap tentang melindungi negara bebas," katanya.

Difahamkan, rancangan kontroversi sama pernah disuarakan ketika pentadbiran penggal pertama beliau pada 2019 malah anaknya, Donald Trump Jr turut mengadakan kunjungan peribadi ke Nuuk untuk bertemu komuniti di sana pada awal minggu lalu.

Selain itu, Trump dengan lantang membuat tuntutan ke atas Terusan Panama daripada Panama City selain mahu menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 di bawah AS dan mencalonkan bekas pemain hoki, Wayne Gretzky sebagai calon gabenor.

"Ottawa menerima subsidi kira-kira AS$200 bilion (RM900 bilion) setahun termasuk dana lain. Mereka tidak mempunyai pasukan tentera yang besar dan bergantung kepada AS," ujar Trump yang turut mengulas tentang rancangan menamakan semula Teluk Mexico kepada Teluk Amerika yang kononnya 'nama lebih indah'.

Jerman, Perancis beri amaran

Kempen peluasan wilayah AS didakwa semakin perlahan pada abad ke-20 setelah Alaska dan Hawaii menjadi negeri di bawah pentadbiran Washington pada 1959.

Pada awal sejarah AS, Presiden kelima, James Monroe menubuhkan Doktrin Monroe yang menyampaikan mesej kepada Kongres (1823) dan memberi amaran kepada kuasa Eropah terhadap penjajahan di Hemisfera Barat.

Ketika mengawai projek pembinaan Terusan Panama, Presiden ke-26 AS, Theodore Roosevelt juga mengguna pakai Doktrin Monroe dengan Doktrin Tambahan Roosevelt yang menetapkan AS bertanggungjawab untuk membantu negara di Hemisfera Barat.

Tetapi, berbeza pula dengan doktrin Trump yang lebih 'agresif' dan dikhuatiri mencetuskan anjakan paradigma yang bakal mengubah landskap politik dan ekonomi global kepada 360 darjah.

Susulan itu, Berlin dan Paris telah memberi amaran tegas kepada Trump.

Canselor Jerman, Olaf Scholz menegaskan prinsip tidak boleh sewenang-wenangnya mencabuli sempadan terpakai ke atas setiap negara tanpa mengira ia kuasa besar atau tidak.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot juga senada dengan Scholz apabila menyatakan blok Kesatuan Eropah (EU) tidak akan membiarkan mana-mana negara melanggar kedaulatan sesebuah wilayah.

"Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diketuai AS sudah menjadi instrumen penting untuk pertahanan dan pusat hubungan transatlantik. Alasan tujuan keselamatan untuk merampas wilayah negara lain tidak boleh diterima," kata Scholz merujuk kepada Greenland yang berstatus wilayah autonomi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!