Kita sudah pun berada dalam krisis Perlembagaan - Haniff Khatri

Haniff Khatri (kanan) dan Hassan.
Haniff Khatri (kanan) dan Hassan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla tidak bersetuju dengan pendapat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bahawa Majlis Raja-Raja tiada kuasa untuk bersidang mengenai isu Perlembagaan.

Beliau berkata, jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong berhak meminta untuk mengadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja dan boleh mengambil tindakan menerusi sidang tersebut menurut Perkara 40 Fasal 2 (c).

“Bukankah isu layanan pihak kerajaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap titah berkait secara terus dengan keistimewaan, kedudukan serta kemuliaan raja-raja?

“Sebab itulah saya sarankan supaya Agong mengikut budi bicaranya boleh memanggil satu mesyuarat untuk isu khusus tentang Titah Adendum.

“Pada pandangan saya, kita sudah pun berada dalam krisis Perlembagaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pengakuannya mengatakan Titah Adendum telah diterima oleh Peguam Negara pada Januari tahun lalu tapi tak didedahkan,” katanya menerusi hantaran di YouTube pada Ahad.

Mohamed Haniff berkata demikian mengulas kenyataan Hassan tentang tidak wajar melibatkan Majlis Raja-Raja untuk membincangkan dakwaan Putrajaya yang enggan mengakui atau melaksanakan Titah Adendum agar Najib menghabiskan baki hukuman penjara kepada tahanan di rumah.

Jelasnya, tindakan melibatkan Majlis Raja-Raja adalah bahaya dan boleh mewujudkan krisis Perlembagaan di negara ini.

Hassan sebaliknya berpandangan, isu berkenaan lebih sesuai dibincangkan di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Haniff berkata, perbincangan di Parlimen sememangnya perlu dibuat, namun mesyuarat mula bersidang pada 3 Februari depan.

“Walaupun dari segi undang-undang, kerajaan boleh meminta Speaker Dewan Rakyat memanggil mesyuarat Parlimen segera, tetapi adakah ia akan dipertimbangkan oleh Perdana Menteri?

“Daripada memanjangkan krisis Perlembagaan sedia ada, sebaiknya Majlis Raja-Raja bermesyuarat untuk membincangkan isu sebagai tambahan kepada hak Parlimen berbincang kemudiannya.

“Akhir sekali, sememangnya betul bahawa semakan kehakiman Najib pada 13 Januari untuk pengurusan kes. Tetapi, apa yang bakal diputuskan cuma berkaitan kesahihan dan bukannya kegagalan pendedahan titah tersebut,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!