'PMX dapat maklumat tak betul' - TMB Kelantan

Masjid Beijing, Rantau Panjang yang menjadi pembukaan visual rasmi video TMK 2024. Gambar kecil: Dr Mohamed Fadzli - FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.
Masjid Beijing, Rantau Panjang yang menjadi pembukaan visual rasmi video TMK 2024. Gambar kecil: Dr Mohamed Fadzli - FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID.
A
A
A

KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap mendapat maklumat tidak tepat apabila menyebut tentang video pelancongan negeri Kelantan yang dikatakan tidak memaparkan masjid.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, sebaliknya menegaskan video berdurasi 3.59 minit itu memaparkan banyak masjid dan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra (Masjid Beijing), Rantau Panjang menjadi pembukaan visual rasmi Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024).

“Itu tak betul, bahkan ada dua atau lebih tiga masjid dipaparkan, yang pertama Masjid Beijing, kedua Masjid Muhammadi dan Masjid Warisan Kampung Laut serta lain-lain lagi.

“Mungkin ada orang bagi maklumat yang tidak betul kepada PMX,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih tahun 2024 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Ahad.

Masjid Muhammadi yang juga masjid negeri Kelantan turut dipaparkan.
Masjid Muhammadi yang juga masjid negeri Kelantan turut dipaparkan.

Sebelum itu, Anwar ketika berucap berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang pada Sabtu menggalakkan rakyat memberi cadangan menambah baik video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menjadi kontroversi susulan kecaman pemimpin Perikatan Nasional kerana tidak memaparkan masjid.

Anwar berkata isu montaj pada majlis pelancaran TMM 2026 itu tidak patut diperbesarkan apatah lagi menjadi isu perkauman sempit selain ketika menjawab polemik itu beliau memetik dan menyatakan “video pelancongan Kelantan pun tak ada nampak masjid.”

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan video montaj yang dipertontonkan semasa majlis pelancaran logo, maskot, lagu tema, dan reka bentuk paparan corak pada kapal terbang bagi TMM 2026 Isnin lepas, bukanlah video yang akan digunakan bagi tujuan promosi sebaliknya hanyalah video pelancaran ringkas serta pendek berdurasi 41 saat.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar imej Masjid Razaleigh, Gua Musang dalam video promosi pelancongan Kelantan.
Tangkap layar imej Masjid Razaleigh, Gua Musang dalam video promosi pelancongan Kelantan.

King Sing berkata, video promosi TMM 2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri sebaiknya, dan dijangka dapat disiarkan dalam tempoh seminggu.

Bagaimanapun Dr Mohamed Fadzli berkata, pihak terbabit sepatutnya berhati-hati dan tidak mengulangi perkara sama bagi menjaga sensitiviti serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau turut menyambut baik keputusan MOTAC untuk menghasilkan semula video promosi TMM 2026.

“Tak apa, kami mengalu-alukan perkara ini diperbetulkan, tetapi kesilapan tetap perlu diakui dan jangan diulang selain perlu mohon maaf.

“Masjid juga ialah indentiti negara ini sebagai sebuah negara Islam seperti termaktub dalam Perlembangan dan jangan diganggu keharmonian atau tolak ansur yang sudah sekian lama diamalkan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!