Perkenal Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong Muslim

SHAH ALAM – Program Pengenalan Imam atau Imam Familiarisation Trip yang diterajui oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) dapat merapatkan jurang pemahaman budaya dan agama di samping memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama untuk pelancong Muslim.
Ketua Pengarahnya, Nizran Noordin berkata, kerjasama strategik ITC bersama tiga agensi pelancongan terkemuka menjadi satu langkah penting dalam usaha Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH).

Katanya, agensi tersebut ialah Persatuan Ejen Pelancongan dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA).
“Dengan membawa imam atau pemimpin berpengaruh dari China dan Eropah untuk merasai keindahan dan kekayaan warisan negara, kami mahu membina kepercayaan serta keyakinan yang lebih kukuh terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.
“Melalui Program Pengenalan Imam, pemimpin-pemimpin berpengaruh akan menikmati pengalaman penuh di Malaysia termasuk penginapan di hotel-hotel yang menerima Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) oleh ITC.
“Selain itu, lawatan mereka akan merangkumi kunjungan ke masjid-masjid bersejarah, merasai hidangan halal yang lazat serta menjelajahi tarikan budaya, warisan dan alam semula jadi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, kerjasama berkenaan juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam membangunkan ekosistem pelancongan mesra Muslim yang kukuh dan mampan.
“Program ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang bermakna, memupuk kesedaran antarabangsa dan membuka peluang ekonomi untuk pemegang taruh pelancongan tempatan.
“Kami juga berjaya menyambut 35 imam dari 14 wilayah di China yang menghasilkan kedatangan 58,000 pelancong Muslim dari negara itu ke Malaysia dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM92.8 juta dalam tempoh dua bulan berikutnya melalui program perintis pada Januari 2024 bersama MICA,” ujarnya.
Menurut Nizran, lawatan pengenalan tersebut dijangka membawa pulangan ekonomi yang signifikan, selaras dengan matlamat Malaysia untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong Muslim dan mengukuhkan ekonomi pelancongannya.
“Kedudukan Malaysia yang teratas dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) sebagai destinasi mesra Muslim selama sembilan tahun berturut-turut turut mengukuhkan reputasi negara ini sebagai tempat pelancongan yang terkemuka.
“Melalui inisiatif ini, kami akan mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi yang dinamik, meningkatkan kedatangan pelancong daripada pasaran utama, mencipta peluang untuk perniagaan tempatan dan menyokong kempen pemasaran serta promosi Visit Malaysia 2026,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!