X

Kindly register in order to view this article
!

Ketua kumpulan Ayahanda Yie Tiger 99, 11 ahli didakwa

Ketua kumpulan jenayah terancang Ayahanda Yie Tiger 99 Masyre Mohamed Narizan, 39, dan 11 lagi ahli kumpulan terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menganggotai kumpulan terbabit serta memiliki senjata dan peluru tanpa lesen dan permit yang sah. - Foto Bernama
A
A

KLANG - Ketua kumpulan jenayah terancang ‘Ayahanda Yie Tiger 99’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menganggotai kumpulan terbabit serta memiliki senjata dan peluru tanpa lesen dan permit yang sah.

Tertuduh, Masyre Mohamed Narizan, 39, mengangguk faham terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan pertama, Masyre dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang berkenaan di sebuah premis di Jalan Sentul, Pandamaran di sini antara Mei 2017 hingga 22 Januari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama iaitu penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki tiga pucuk pistol iaitu jenis CAL.45 Star Eibar Spain berwarna perak bernombor siri 07477-96, pistol jenis Taurus 9MM berwarna perak dan pistol jenis CZ75 Compact berwarna hitam tanpa lesen atau permit senjata yang sah.

Masyre dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Seri Tanjung 16, Taman Sri Andalas di sini kira-kira pukul 2.30 petang, 31 Januari lepas mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga tidak kurang enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Masyre didakwa memiliki lapan peluru hidup jenis SME 9MM dan empat peluru hidup jenis S&B.45 auto tanpa sebarang lesen atau permit senjata yang sah di alamat, tarikh serta waktu yang sama dengan pertuduhan kedua.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Turut didakwa di mahkamah sama adalah 11 lagi ahli kumpulan jenayah terancang berkenaan.

Mereka adalah Azukismi Che Abdullah, 40; Nik Arzahar Nik Mat, 39; Mohd Azizan Ibrahim, 43; W Mohd Ihsan W [email protected] Husin, 34; Mohd Faizal Ramli, 31; Muhamad Fakhrurazi Ali, 33; Nuriasbat Mohd Maamon, 43; Mohamad Shafriq Mohamed Ali, 28; Rustam Tanni, 39; Mohamad Noor Helmie Zainal Abidin, 40; dan Mohamad Japri Abu Samah, 37 tahun.

Kesemua tertuduh mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, kesemua lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang berkenaan di lokasi, tarikh dan akta yang sama dengan Masyre.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar, Muhammad Asyraf Minhad, Mohd Izhanudin Alias dan Ainun Zafirah Abdul Halim.

Pasukan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh.

Masyre, Azukismi, W Mohd Ihsan, Nuriasbat, Mohamad Shafriq, Rustam dan Mohamad Japri diwakili peguam Muhd Ozier Farhan manakala peguam Gerard Lazarus mewakili Mohd Azizan dan Mohamad Noor Helmie.

Tertuduh Muhamad Fakhrurazi diwakili peguam Fazilawati Hussin manakala Nik Arzahar diwakili peguam Zaleha Al-Hayat dan Mohd Faizal diwakili peguam Lee Wenxu.

Hakim Ahmad Zamzani memutuskan tiada sebarang jaminan diberikan kepada kesemua tertuduh dan menetapkan 17 April ini bagi sebutan semula kesemua kes.