Profesor bukan maharaja lawak

A
A
A

BARU-BARU ini, Majlis Profesor Negara (MPN) telah memberi komen politik tentang masalah peralihan kuasa Perdana Menteri yang masih kabur. Maka MPN pun mencadangkan bahawa adalah lebih baik diadakan pilihan raya umum. Biarlah rakyat yang memilih dan menentukan. Rakyat pula yang kena memikul amanah ini, bukan para profesor. Komen seperti ini sebenarnya sudah biasa diulang tayang banyak kali di warung-warung teh tarik. Ia seolah-olah komen yang play safe dengan mengalihkan tanggungjawab analisis ke atas bahu rakyat.

Maka apakah tanggungjawab MPN? Kalau sekadar ulang tayang analisis warung teh tarik, baik bubarkan sahaja MPN kerana warung teh tarik lebih cepat dan awal memberi analisis terkini! Apakah beza kekuatan pandangan rakyat marhaen dan profesor? Universiti rosak bila budaya pemikiran profesor hanya sekadar copy paste pemikiran warung teh tarik.

Sebenarnya inilah masalahnya dunia akademik kita. Syok sendiri dan tidak bersifat reformis. Benar kata MPN bahawa komen politik mereka tentang peralihan kuasa hanya bersifat ‘akademik’. Perkataan halusnya ialah akademik. Makna hakikinya ialah syok sendiri. Cadangan MPN sekadar itu sahaja? Bagaimana rakyat nak menghormati institusi profesor kalau sekadar komen copy paste?

Sejauh manakah MPN berani memberi analisis kritis terhadap isu nasional seperti peralihan kuasa PM? Contohnya sejauh manakah seorang profesor berani memberi komen kritis tentang siapakah yang lebih layak menjadi PM? Adakah Anwar patut menjadi PM? Kalau bukan Anwar, siapa pula yang lebih layak?

Apakah profesor tiada pendirian tentang siapa bakal PM? Profesor hanya mampu serahkan kepada rakyat bulat-bulat untuk memilih tanpa sebarang panduan daripada para profesor yang begitu tinggi ilmu dan begitu mendalam analisis? Adakah peranan profesor hanya sekadar teori dan akademik yang cuma laku dikisarkan dalam kelas dan universiti?

Bebas politik

Apakah profesor takut untuk bercakap benar? Dunia akademik bukan dunia kebenaran tetapi dunia berpura-pura dan percaturan politik barangkali. Mungkin profesor berhujah bahawa akademik patut bebas politik. Kalau mau bebas politik, baik jangan wujudkan departmen sains politik! Apakah sains politik tidak didik mahasiswa yang bersifat mahaintelek untuk menilai siapakah yang lebih layak menjadi PM? Institusi PM adalah paling mustahak dalam negara. Ia menentukan hidup mati sebuah negara. Apakah slogan bebas politik maknanya membiarkan institusi PM terumbang-ambing di bawah budi bicara rakyat tanpa sebarang panduan daripada ilmuwan negara dan profesor terulung? Apakah makna terulung kalau takut memberi penilaian sendiri? Istilah bebas politik adalah umpama alasan budak takut memberi komen. Aku bukan takut tapi mau bebas politik! Itulah sebab wujud pelbagai persoalan sejauh manakah MPN patut diteruskan kalau sekadar mau bebas politik dan copy paste? Negara yang maju mendambakan budaya profesor yang berfikir kritis, lantang bercakap benar walaupun pahit dan mampu memimpin pemikiran rakyat.

Kita mau MPN yang menjadi contoh ilmuwan yang meletakkan kebenaran atas periuk nasi, analisis ilmiah atas analisis politik berat sebelah.

Artikel Berkaitan:

Rakyat lebih menghormati seorang profesor yang memberi pandangan ilmiah yang tinggi tentang siapakah yang patut menjadi PM. Cadangan ini tidak bermakna profesor itu bias politik kalau ia berpijak atas metodologi analisis ilmiah. Profesor boleh beri analisis pro dan kontra tentang siapakah yang patut menjadi PM. Konklusinya diberi setelah memberi kajian pro dan kontra secara ilmiah.

Rakyat akan menjadi lebih matang jika MPN menunjukkan kematangan analisis yang tinggi. Kalau bukan para ilmuwan yang memberi penilaian bernas, siapa lagi?

MPN patut muhasabah diri. Seorang profesor adalah imam ilmu, bukan maharaja lawak!