Tangani rasuah bukan hanya melalui undang-undang

Rasuah bukan suatu masalah yang perlu ditangani melalui undang-undang sahaja kerana ia melibatkan isu kemerosotan moral yang bakal memberi impak negatif kepada negara. Gambar hiasan (Gambar kecil: Normahfuzah)
Rasuah bukan suatu masalah yang perlu ditangani melalui undang-undang sahaja kerana ia melibatkan isu kemerosotan moral yang bakal memberi impak negatif kepada negara. Gambar hiasan (Gambar kecil: Normahfuzah)
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah bukan suatu masalah yang perlu ditangani melalui undang-undang sahaja kerana ia melibatkan isu kemerosotan moral yang bakal memberi impak negatif kepada negara.

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Kedah, Dr Normahfuzah Ahmad berkata, sebaliknya rakyat perlu dididik tentang kesan rasuah secara meluas terutamanya impak buruk terhadap pembangunan ekonomi negara.

Menurutnya, kajian oleh World Bank Group pada 2023 menunjukkan bahawa rasuah memberi lebih kemudaratan terhadap golongan miskin, meningkatkan kos dan mengurangkan akses kepada perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan, malah keadilan.

"Rasuah adalah isu berleluasa yang wujud di negara maju atau membangun, bezanya ialah tahap. Pemerkasaan struktur organisasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditambah dengan anjakan minda adalah permulaan positif.

"Tetapi penting anjakan minda ini melangkaui SPRM kepada orang ramai secara amnya. Mendidik orang ramai tentang rasuah juga memerlukan penekanan yang kuat terhadap etika dan nilai moral.

"Masyarakat yang berakar umbi dalam prinsip ini secara semula jadi memupuk budaya integriti yang seterusnya mengurangkan kelaziman amalan rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan, SPRM akan memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah dalam aspek perolehan, penguatkuasaan, dan ‘grand corruption’ pada tahun hadapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu bertujuan membantu pertumbuhan ekonomi negara, mengurangkan ketirisan, serta mengembalikan aset dan wang negara yang telah diselewengkan.

Mengulas lanjut, menurut Normahfuzah, asas untuk tingkah laku beretika mesti diletakkan lebih awal bermula di rumah dan diperkukuh melalui institusi pendidikan serta menerusi inisiatif sosial lain seperti badan bukan kerajaan (NGO), Rasuah Busters.

Artikel Berkaitan:

"Hanya dengan menerapkan nilai-nilai moral dan etika sejak kecil kita dapat memupuk budaya tanggungjawab dan akauntabiliti yang memperkukuh norma sosial menentang rasuah," ulasnya.

Dalam pada itu, Normahfuzah berkata, kepercayaan tidak boleh dibina sekiranya rasuah menjadi kebiasaan terutama melibatkan golongan penjawat awam.

"Salah satu kajian yang telah diterbitkan dalam buku The Oxford Handbook of Social and Political Trust pada 2017 mendapati jika terdapat rasuah yang tinggi, kepercayaan menjadi rendah, serta ketidaksamaan sesama rakyat menjadi tinggi.

"Sebaliknya, jika rasuah rendah, ketidaksamaan juga rendah yang mengakibatkan keseimbangan berganda dinikmati bersama," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!