Covid-19: Petugas, sukarelawan telah diberi taklimat - UM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak Universiti Malaya (UM) menjelaskan kesemua petugas dan penuntut yang menjadi sukarelawan serta bertugas ketika proses 'pengasingan' pelajar China yang balik dari negara itu, telah mendapat pendedahan berhubung tatacara pencegahan dan kawalan jangkitan.

Dalam satu kenyataan hari ini, UM berkata, mereka juga dibekalkan dengan topeng muka dan bahan pembersih tangan (hand sanitizer).

Menurutnya, pihak universiti juga memastikan bahawa kawasan bekerja para petugas dan sukarelawan adalah bersih dan terkawal.

"Mereka turut diberikan taklimat berhubung koronavirus (Covid-19) oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Pusat Kesihatan Daerah Petaling Jaya.

"Memandangkan prosedur Pengawasan Terpusat ini dijalankan di dalam kawasan kampus, UM komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus yang lain tidak akan terkompromi oleh perlaksanaan prosedur ini.

"Universiti juga akan memperkemas dan menambah baik protokol berhubung perkara ini setiap kali perlu," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, UM juga menjelaskan, keseluruhan proses pemeriksaan kesihatan dilakukan sepenuhnya oleh pasukan perubatan UM di bawah Klinik Kesihatan Pelajar yang terdiri daripada pegawai perubatan dan ahli paramedik dengan bantuan kakitangan daripada pelbagai jabatan lain

Ujarnya, penglibatan sekumpulan 14 sukarelawan telah diambil alih secara beransur-ansur oleh kakitangan universiti bagi memberikan mereka ruang persediaan sebelum kuliah bermula dan sebagai langkah pengawalan risiko.

Artikel Berkaitan:

"UM ingin menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga kampus, baik para pelajar mahupun kakitangan sentiasa menjadi keutamaan penting Universiti. Kami akan mengambil apa jua langkah yang perlu bagi memastikan perkara ini terlaksana pada setiap masa," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak dimaklumkan berhubung penglibatan penuntut UM dalam mengendalikan pelajar China.

Beliau berkata, UM perlu bertanggungjawab terhadap memberi pelindungan kepada kakitangan mahupun sukarelawan yang berisiko.

Susulan itu perbincangan lanjut akan dilakukan oleh KKM bersama Kementerian Pendidikan berhubung tindakan UM.

Media sebelum ini melaporkan 14 sukarelawan terbabit hanya menawarkan diri untuk mengendalikan sesi pendaftaran 'pelajar mobiliti' di kolej berkenaan dan menjadi rutin biasa untuk sukarelawan menjalankan pendaftaran dan orientasi kepada pelajar baharu pada permulaan setiap semester.

Bagaimanapun pihak UM didakwa telah meminta kumpulan sukarelawan itu untuk mengendalikan ‘pengasingan’ pelajar China yang baru kembali untuk semester baharu.

Menjadi kebimbangan kerana sukarelawan berkenaan didakwa tidak dilatih dengan betul untuk mengendalikan proses tersebut berikutan penularan Covid-19.