Peneroka rugi RM107,296 ditipu pelaburan tidak wujud

KOTA TINGGI - Seorang peneroka mengalami kerugian sebanyak RM107,296 selepas diperdaya sindiket pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, lelaki berusia 73 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan saham secara islamik di laman sosial Facebook pada Oktober tahun lalu.
"Disebabkan berminat untuk membuat pelaburan tersebut, mangsa telah menghantar mesej ke akaun Facebook tersebut untuk bertanyakan berkaitan pelaburan itu.
"Suspek yang merupakan wanita tempatan telah menerangkan kepada mangsa berkaitan pelaburan berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.
"Namun, suspek memberitahu antara syarat untuk melabur, mangsa perlu mendaftar sebagai ahli terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Yusof, selepas membuat pendaftaran dan menjadi ahli kumpulan pelaburan, mangsa telah membuat pembayaran secara berperingkat bermula dari Oktober tahun lalu sehingga Oktober tahun ini.
Katanya, sebanyak 15 transaksi ke dalam sembilan akaun penerima berbeza dengan jumlah RM107,296.
"Sepanjang tempoh itu, mangsa tidak memperoleh sebarang keuntungan dengan kali terakhir bayaran dibuat pada 24 Oktober lalu.
"Selepas itu mangsa gagal untuk menghubungi suspek dan merasakan telah ditipu dan membuat laporan polis pada Khamis.
"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mangsa tertarik dengan keuntungan berlipat ganda yang dijanjikan suspek," katanya.
Yusof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai diminta lebih berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sindiket pelaburan yang menawarkan keuntungan berlipat ganda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

