Cubaan seludup 2,000 anak benih durian gagal

Antara anak benih durian yang berjaya dirampas.
Antara anak benih durian yang berjaya dirampas.
A
A
A

TANAH MERAH - Cubaan seorang lelaki membawa masuk 2,000 anak benih pokok durian bernilai RM8,000 Khamis lalu gagal apabila tindakannya disekat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, lelaki warga Thailand itu dipercayai membawa masuk pelbagai jenis anak benih pokok durian baka Thailand melalui Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Bunga.

Katanya, ketika pemeriksaan anak benih pokok tersebut di sembunyikan di belakang kenderaan jenis pacuan empat roda dan ditutup menggunakan kanvas plastik.

“Pelbagai jenis anak benih pokok durian yang terdiri daripada baka monthong, chenni dan bantal mas ditahan di sita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) dan Seksyen 11(3) Akta 728 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, Maqis melakukan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

"Langkah ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan: