KPDN Perak patah cubaan seludup diesel ke Thailand

Pegawai penguat kuasa KPDN Perak menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang disyaki cuba seludup minyak diesel bersubsidi di ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu. - Foto ihsan KPDN Perak
Pegawai penguat kuasa KPDN Perak menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan yang disyaki cuba seludup minyak diesel bersubsidi di ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu. - Foto ihsan KPDN Perak
A
A
A

GERIK - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menggagalkan cubaan seludup minyak diesel yang didalangi dua lelaki warga Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu di sini pada Sabtu.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dua beranak berusia 24 dan 58 tahun itu disyaki membawa 70 liter minyak diesel bersubsidi ketika melalui pemeriksaan di pos kawalan pintu masuk sempadan negara.

"Melalui pemantauan yang dijalankan, modus operandi kenderaan ini disyaki telah membeli minyak diesel di stesen minyak dengan had kuantiti sebanyak 20 liter dan kenderaan yang sama juga akan membeli sekali lagi minyak diesel di stesen minyak berlainan sebelum masuk semula ke Thailand.

"Kenderaan ini telah diekori hingga melalui pos kawalan terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 70 liter minyak diesel berada di dalam tangki kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, kerajaan melalui KPDN telah menguatkuasakan larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing di stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari pintu sempadan negara.

"Kenderaan dan minyak diesel tersebut telah disita dan kedua-dua warga Thailand tersebut ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM50,150.50," katanya.

Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDN memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barang-barang kawalan ini.

"Pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi," katanya.