Sila log masuk terlebih dahulu.

"Saya pilih busana sendiri, bukan Jovian."- Nina

BICARA Nina, tidak salah untuk mengikuti trend semasa, tetapi jangan sampai menjadi hamba fesyen.
BICARA Nina, tidak salah untuk mengikuti trend semasa, tetapi jangan sampai menjadi hamba fesyen.
A
A
A

JARUM jam menunjukkan pukul 10.30 pagi. Seperti yang dijanjikan, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri hadir dalam persalinan sut rona biru gelap di pekarangan butik Jovian Mandagie, Bangsar, Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja melangkah ke dalam perut butik, isteri kepada pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie itu menzahirkan kelegaan kerana sempat tiba bertemu kru Femina pada masa ditetapkan.

"Sepatutnya perancangan asal, keluar saja rumah, saya terus ke sini (butik). Last minute (saat akhir) dapat panggilan telefon daripada pihak tadika, jadi saya bergegas ke sana dulu.

"Beginilah rutin saya yang sentiasa padat dengan urusan keluarga dan perusahaan Peterana Kindergarten serta salun Capello by Nina. Biarpun penat ke sana, ke sini, tetapi saya gembira dan bersyukur dengan nikmat rezeki diberi-NYA," jelas ibu kepada Jeanelle Nika Mandagie yang berusia tiga tahun.

Ditanya dalam kesibukan menguruskan pelbagai agenda seharian, adakah beliau mempunyai masa untuk diri sendiri? Wanita bertubuh genit itu pantas menjawab, ya...

"Walau sesibuk mana pun saya akan mencari masa untuk ke salun dan spa. Sebagai wanita, kita harus menitikberatkan aspek penampilan supaya tampak kemas dan menawan.

"Lebih-lebih lagi cuaca di Malaysia yang panas membuatkan kulit wajah mudah kusam dan helaian rambut tidak bermaya," jelasnya yang gemar mengumpul beg tangan dan konsep fesyen minimalis.

Ikuti perkongsian lanjut Nina bersama wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF pada segmen Personaliti minggu ini yang berbicara tentang fesyen, keluarga dan bisnes kesayangan beliau.

Artikel Berkaitan:

1 Jika melihat satu-persatu kepingan foto yang dimuat naik dalam Instagram peribadi @ninaismailsabri, Nina nampaknya gemar bergaya dan elegan mengikut destinasi atau acara dihadiri. Adakah rutin 'bersiap' ini mengikut cita rasa sendiri atau disebabkan status suami sebagai pereka fesyen memerlukan anda wajib tampil menarik?

NINA: Secara jujurnya, minat pada kecantikan dan fesyen bukan disebabkan status suami (Jovian) sebagai pereka busana. Sebaliknya, kecintaan ini telah disemai sejak zaman kanak-kanak yang mana ibu (Datin Seri Muhaini Zainal Abidin) sentiasa mendidik saya dan tiga adik lelaki supaya tampil kemas, segak dan bergaya.

Masih segar dalam kotak memori, acap kali keluar rumah sama ada bersantai bersama famili ataupun menghadiri majlis keramaian, ibu akan menyarungkan kami adik-beradik pakaian sedondon khususnya dari segi warna dan corak.

Kemudian, menginjak remaja kecenderungan saya pada perihal fesyen semakin bercambah kerana terpengaruh corak penampilan ibu ketika keluar bekerja di sebuah syarikat insurans.

Ibu bukan sahaja menitikberatkan soal pakaian, malah turut bijak menerapkan konsep suai padan antara tas tangan, sepatu dan aksesori.

Bayangkan, dari hujung rambut hingga hujung kaki, koordinasi warna item fesyen digayakan beliau (ibu) sentiasa serasi dan menawan pada mata saya. Bertitik tolak dari situ, tabiat berhias itu melekat pula dengan saya sehingga hari ini (ketawa).

Tiada salahnya, kita bergaya, apatah lagi wanita dan fesyen ibarat isi dan kuku. Lagipun saya perlu menjaga nama baik dan imej suami.

2 Sebagai pereka fesyen, misi Jovian adalah menghasilkan koleksi busana agar wanita di luar sana sentiasa tampil cantik dan menawan. Justeru, bergelar permaisuri hati kepada beliau, adakah penampilan harian Nina baik dari segi baju, kasut, rambut mahupun solekan ditentukan oleh Jovian?

Oh...semestinya tidak. Gaya saya setiap hari adalah mengikut cita rasa dan keselesaan peribadi. Jovian tidak pernah mengongkong ataupun menentukan konsep baju yang harus digayakan, asalkan ia sedap mata memandang dan bersesuaian dengan lokasi dituju.

Sepertimana yang awak lihat baju, kasut dan beg tangan saya hari ini pun adalah pilihan sendiri. Sementelah, rambut dan solekan hasil sentuhan jurusolek yang sudah memahami konsep pilihan saya.

BIARPUN bersuamikan pereka fesyen, namun Nina sentiasa diberi kebebasan memilih konsep busana, dandadan rambut dan solekan pilihan.
BIARPUN bersuamikan pereka fesyen, namun Nina sentiasa diberi kebebasan memilih konsep busana, dandadan rambut dan solekan pilihan.

3 Adakah memegang status isteri kepada pereka fesyen popular negara membebankan Nina?

Saya tidak pernah menganggap menjadi isteri kepada Jovian perkara membebankan. Suami tidak menyekat, sebaliknya memberikan kebebasan tatkala berfesyen.

Percaya atau tidak, meskipun beliau pereka fesyen, tetapi Jovian lebih suka saya menjadi diri sendiri. Tidak perlu terlalu mencuba secara berlebihan sehingga melenyapkan signatur imej dan personaliti saya.

Lagipun bermula dari zaman berpacaran, berkahwin dan kini bergelar ibu, suami menerima fesyen saya seadanya.

Bukan itu sahaja, beliau juga selesa apabila saya mengamalkan solekan, dandanan dan gaya yang minimalis kerana paling utama baginya kecantikan hati. Apabila kecantikan dalaman dijaga, maka keindahan itu automatik terpancar pada wajah.

Saya ingat lagi, ketika mengandungkan Jeanelle, mood tidak menentu sehingga menyebabkan saya enggan berhias dan bersolek. Jovian tidak merungut, sebaliknya berterusan memberikan nasihat supaya bersiap mengikut kemampuan diri.

4 Lazimnya, kumpulan pereka fesyen sentiasa bereksperimentasi mereka koleksi busana mengikut trend terkini dan Jovian tidak terkecuali. Oleh itu, bagi Nina sendiri adakah konsep fesyen peribadi juga harus selari dengan peredaran semasa?

Tidak dinafikan kadangkala kita perlu berfesyen mengikut trend, namun saya masih berpegang teguh pada nasihat suami bergaya seiring dengan personaliti. Jangan terlalu taksub sehingga menjadi hamba fesyen.

Sebelum mendirikan rumah tangga kebanyakan stail penampilan saya dipengaruhi wardrobe dalam drama bersiri, Gossip Girl. Gaun mini berwarna-warni, skirt dan aksesori kepala yang comel memikat hati saya.

Namun begitu, tidak menyangka pula sedikit sebanyak fesyen saya itu menyuntik inspirasi kepada Jovian untuk menghasilkan koleksi pakaian sedia pakai (ready-to-wear) yang menyasarkan pasaran dalam kalangan kelompok muda.

Seperti yang kita sedia maklum, label Jovian Mandagie sebelum ini lebih cenderung pada pakaian rekaan berkelas, ekstravaganza dan glamor memandangkan sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada golongan kenamaan.

Justeru, bagi menambat hati wanita muda inisiatif awal dilaksanakan beliau adalah dengan membongkar gerobok saya dan mengambil beberapa seleksi baju untuk dijadikan sampel.

5 Adakah Nina dan Jovian sama seperti pasangan suami isteri lain yang gemar bergaya sedondon?

Pastinya, ya! Sepertimana ibu gemar menyarungkan pakaian sedondon kepada anak-anaknya, kini saya mempraktikkan konsep sama terhadap suami dan Jeanelle. Ia sekadar suka-suka sahaja supaya tampak cantik dalam foto.

Lazimnya, kami akan tampil sedondon khususnya dari segi warna ketika bersantai pada hari Ahad. Hujung minggu adalah detik istimewa buat Jeanelle.

Kami berdua selalunya elak bekerja pada hari Ahad dan tidak melayan telefon yang boleh mengganggu kualiti masa.

NINA (kanan) gemar tampil sedondon bersama suami, Jovian (kiri) dan Jeanelle pada setiap hujung minggu atau ketika bercuti.
NINA (kanan) gemar tampil sedondon bersama suami, Jovian (kiri) dan Jeanelle pada setiap hujung minggu atau ketika bercuti.

6 Memiliki bapa bertaraf VIP manakala suami pereka fesyen berjaya, nampaknya situasi itu tidak menjadikan anda wanita bersenang-lenang diulit kemewahan. Mengapa, Nina tegar bekerja dengan mengusahakan dua cabang bisnes secara serentak?

Saya suka belajar dan menimba ilmu sehingga berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Justeru, tiada maknanya memperoleh segulung ijazah jika tidak dipraktikkan dalam lapangan pekerjaan.

Usai menamatkan pengajian, ayah memberi dua pilihan sama ada mengendalikan bisnes atau bekerja di mana-mana syarikat.

Sememangnya, ayah seorang yang tegas dan kurang gemar anak-anak berpeluk tubuh kerana banyak peluang boleh diterokai.

Sehubungan itu, ayah membantu dari segi modal apabila saya memilih untuk mengusahakan Peterana Kindergarten yang berpangkalan di Bangsar, Kuala Lumpur. Tidak dinafikan, sesetengah pihak berpendapat saya mudah berbisnes dek bantuan ayah. Bagaimanapun, mereka tidak tahu sekiranya perniagaan (tadika) ini gagal, maka tiada lagi bantuan dan saya perlu kerja makan gaji. Sehubungan itu, enggan membiarkan persepsi negatif terus membelenggu, saya komited dan proaktif menjalankan bisnes tadika.

Berkat kesabaran dan dibantu tim yang kuat, bermula daripada sebuah Peterana Kindergarten, saya telah berjaya mengumpul modal sendiri dan membuka empat buah salun Capello by Nina (Bangi, Shah Alam, Ampang dan Johor Bahru) yang dalam rangka promosi Ramadan tahun ini.