Undang-undang tentera: Parlimen Korea Selatan lulus usul dakwa Presiden

Usul pendakwaan terhadap Suk Yeol diluluskan dengan undian 204 menyokong, 85 menentang, tiga berkecuali dan lapan undian tidak sah, dengan semua 300 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam undian. Foto Xinhua
Usul pendakwaan terhadap Suk Yeol diluluskan dengan undian 204 menyokong, 85 menentang, tiga berkecuali dan lapan undian tidak sah, dengan semua 300 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam undian. Foto Xinhua
A
A
A

SEOUL - Parlimen Korea Selatan pada Sabtu mengundi untuk mendakwa Presiden Yoon Suk Yeol berikutan kegagalannya dalam melaksanakan undang-undang tentera.

Suk Yeol akan digantung daripada tugasnya sebaik sahaja resolusi pendakwaan disampaikan ke pejabatnya, sementara Perdana Menteri, Han Duck-soo akan bertindak sebagai Presiden, lapor agensi berita Yonhap.

Usul pendakwaan terhadap Suk Yeol diluluskan dengan undian 204 menyokong, 85 menentang, tiga berkecuali dan lapan undian tidak sah, dengan semua 300 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam undian.

Parti Kuasa Rakyat (PPP) pimpinan Suk Yeol memutuskan untuk mengambil bahagian dalam undian, tetapi menentang pendakwaan.

Keputusan undian menunjukkan bahawa 12 Ahli Parlimen PPP menyimpang daripada pendirian parti mereka dengan mengundi menyokong pendakwaan.

Untuk meluluskan usul ini, satu majoriti dua pertiga diperlukan, dengan blok pembangkang merangkumi 192 daripada 300 ahli Parlimen.

Cubaan pertama untuk mendakwa Suk Yeol pada Sabtu lepas gagal selepas hampir semua Ahli Parlimen PPP memboikot undian itu.

Usul pemecatan kedua terhadap Suk Yeol diperkenalkan pada Khamis oleh pembangkang utama, Parti Demokratik dan lima parti pembangkang kecil lain, yang mendakwa Suk Yeol melanggar Perlembagaan dan undang-undang lain apabila mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember.

Artikel Berkaitan:

Dekri berkenaan dibatalkan enam jam kemudian selepas Parlimen mengundi untuk mengetepikannya.

Usul kedua itu dipinda daripada usul pertama dengan menghapuskan beberapa tuduhan terhadap Suk Yeol tetapi menambah beberapa lagi tuduhan, termasuk dakwaan bahawa Suk Yeol mengarahkan tentera dan polis untuk menahan Ahli Parlimen semasa undang-undang tentera berkuat kuasa.

Usul ini kini akan dihantar ke Mahkamah Perlembagaan yang akan memutuskan sama ada untuk mengembalikan Suk Yeol kepada jawatannya atau memecatnya, menurut Yonhap.

Sekiranya pendakwaan ini diterima, Suk Yeol akan menjadi presiden kedua yang dipecat selepas bekas Presiden Park Geun-hye pada 2017. - Bernama-Yonhap

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!